Selasa, 30 Julai 2013

Publisiti boleh sebabkan fahaman Syiah berkembang

 
Sesetengah orang yang tak tahu tentang Syiah pun dah mula bertanya tentang Syiah



KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa agama dan media dinasihati supaya segera hentikan polemik isu Syiah kerana bimbang ia hanya akan menyebabkan pengaruh fahaman itu berkembang luas.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu ini secara tidak langsung memberikan publisiti murah terhadap ajaran Syiah itu sendiri sehingga mampu menarik lebih ramai orang mendekati dan mempelajarinya terutamanya golongan muda.

“Saya bersetuju dengan usaha pihak berkuasa Islam untuk membendung penyebaran Syiah ini tetapi tak bersetuju dengan cara pendekatan yang dilakukan kerana sebenarnya mereka memberi publisiti terhadap Syiah itu sendiri, daripada sesetengah orang yang tak tahu tentang Syiah pun dia dah mula bertanya tentang Syiah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Menurut Mahfuz, pihaknya bimbang melalui publisiti akan mendorong generasi muda (GenY) mencari kebenaran tentang ilmu mazhab itu secara lebih mendalam sedangkan pengisian jiwa mereka mengenai ajaran agama ahli sunnah wal jamaah masih lemah.

Sekaligus menyebabkan taktik politik mengaitkan isu ini dengan mencalarkan imej PAS akhirnya memakan diri dan menjejaskan masyarakat sendiri, katanya.

Beliau turut mengecam tindakan Kementerian Pendidikan membiarkan kewujudan buku teks Pendidikan Islam yang dipercayai mengandungi unsur fahaman Syiah diguna pakai pelajar sekolah.

“Jangan nak kaitkan dengan parti politik tapi lupa kesannya buruk kepada masa depan negara.Syiah ini bukan isu PAS dan ni bukan isu parti politik…dia bermusim,” katanya.

Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya dirinya serta beberapa pemimpin tertinggi parti itu termasuk Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu sebagai pengikut mazhab itu.

“Saya rasa penjelasan Ketua Dewan Ulama dan Ketua Penerangan PAS sebelum ini sudah jelas…harap ini kali terakhir saya bercakap pasal Syiah kerana saya nak bagi publisiti kepada Syiah,” katanya.

Kelmarin, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya dan melihat ia sebagai usaha memecahbelahkan parti terutamanya menjelang pemilihan November ini.

Katanya, jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli PAS kerana parti itu ada sistem pemantauan dalaman yang sentiasa aktif bagi memastikan seluruh ahli parti tidak melanggar syarat tersebut; dan mengalu-alukan sebarang bukti yang melibatkan ahli parti dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti.

“Tindakan beberapa orang pimpinan parti yang mempunyai hubungan peribadi dengan pimpinan Iran atau gerakan Islam Timur Tengah seperti Hizbullah bukan bermakna mereka pengikut Syiah. Jika begitu, bagaimana pula dengan mereka dan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan Zionis Yahudi?

“Kerajaan jangan hanya nampak Syiah sebagai ancaman negara, sedangkan ajaran Qadyani yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat dan bercanggah dengan aqidah terus berjalan tanpa sebarang tindakan,” katanya

Tiada ulasan: