Selasa, 30 Julai 2013

PERKASA: Haram 'New Village' jika agungkan PKM

MALAYSIA KINI


 
Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya menggesa kerajaan bertindak tegas sekiranya filem 'The New Village' didapati menggambarkan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan.

Abu Bakar yang dipetik dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini berkata, filem tersebut wajar diharamkan sekiranya didapati menggambarkan PKR sedemikian.

"Kita hormati keputusan KDN terhadap filem itu. Sekiranya filem ini mengandungi unsur-unsur subversif, mempromosi dan mengagung-agungkan PKM seperti yang didakwa sama ada secara langsung atau tidak langsung, maka wajar filem itu diharamkan terus daripada ditayangkan," katanya seperti dipetik Utusan.

Penerbit filem berkenaan telahpun menjelaskan bahawa filem dengan latar zaman pemberontakan komunis itu berkata karya berkenaan diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang potongan pada September tahun lalu.

Penerbit filem berkenaan bagaimanapun tidak mengulas dakwaan bahawa watak utama yang ditonjolkan dalam kisah berkenaan merupakan seorang pengganas komunis.

Filem berkenaan dijangka akan ditayangkan pada 22 Ogos namun ditangguhkan susulan dakwaan oleh exco Pemuda Umno Lokman Adam bahawa filem berkenaan “mengagungkan komunisme”.

Susulan itu, menteri dalam negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata LPF perlu menilai filem berkenaan sekali lagi.

Tiada ulasan: