Ahad, 28 Julai 2013

Penahanan rakan Pengerusi MyWatch tiada kaitan kes tembak - Bernama

THE MALAYSIAN INSIDER

Penahanan rakan kepada R Sri Sanjeevan yang bersama-sama berada dalam kereta ketika Pengerusi MyWatch ditembak di Bahau, Negeri Sembilan semalam, tidak kaitan dengan kes itu.

Sebaliknya, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata rakan mangsa itu ditahan tengah malam tadi berhubung satu kes di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata, suspek dikehendaki sejak awal tahun ini dan polis bertindak memberkasnya di Balai Polis Bahau semasa dia datang membuat laporan berhubung kejadian tembakan itu.

 "Penahanan rakan R Sanjeevan tidak ada kena mengena dengan kes tembakan. Ia kes berasingan kerana dia memang dikehendaki sebelum ini.

"Jadi, jangan ada pihak cuba membuat spekulasi terhadap mana-mana kes sehingga mengganggu siasatan polis," katanya.

Mengenai kes Sanjevan, Osman berkata, polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan itu, bermotif dendam.

Sanjeevan, 29, parah di rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang.

Osman berkata, satu pasukan khas ditubuh bagi melancarkan siasatan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan meminta pihak yang ada maklumat kejadian itu supaya menghubungi polis.

Katanya, mangsa stabil selepas dipindah ke Hospital Tuanku Ja'afar selepas dirawat di Hospital Jempol dan dijadual dibedah hari ini bagi mengeluarkan peluru.

Bagi menjaga keselamatan mangsa, polis menempatkan anggota menjaga mangsa di hospital," katanya.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang memandu ke Taman Cempaka untuk menjemput rakannya keluar minum di Pekan Bahau.

Semasa dalam perjalanan selepas menjemput rakannya, mangsa menurunkan cermin sisi keretanya jenis BMW untuk menghisap rokok dan memperlahan keretanya apabila tiba di satu simpang.

Dua lelaki bermotosikal jenis Yamaha LC kemudian dikatakan menghampiri kereta mangsa lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa sebelum mengenai dan menembusi siku kanan dan terkena rusuknya.

Seorang lelaki itu cuba menghampiri mangsa, bagaimanapun mangsa terus memecut keretanya sejauh 300 meter sebelum meminta rakannya memandu dan membawanya ke hospital.

MyWatch yang dinaungi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan merupakan badan yang memantau keadaan jenayah dalam negara.

Sanjeevan adalah pengerusi yang lantang menyuarakan dan membuat laporan polis berhubung aktiviti perjudian haram di negeri ini terutama di Jelebu dan Jempol dan pernah menerima ancaman. - Bernama

Tiada ulasan: