Rabu, 31 Julai 2013

PAS gesa sidang khas Parlimen selesai masalah jenayah

THE MALAYSIAN INSIDER




















Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menggesa kerajaan Malaysia untuk mengadakan sidang khas Parlimen bagi menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat dalam negara.

Beliau berkata, jaminan diberikan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mampu meredakan kebimbangan rakyat kerana pasukan polis dilihat seperti sudah hilang kawalan.

"Satu sidang khas Parlimen mesti dipanggil segera sebelum Hari Raya.

 "Bagaimana rakyat hendak pulang ke kampung menyambut Aidil Fitri sedangkan bukan sahaja keselamatan harta tidak terjamin malah keselamatan nyawa pun tidak terjamin,” kata Mahfuz dipetik dari Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu amat bimbang kerana keadaan keselamatan negara kini seolah-olah ditentukan oleh penjenayah.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan KPN bahawa pihaknya akan mempertingkat keselamatan sedangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri seolah-olah mengaku kalah apabila berkata, polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

 Zahid dipetik sebagai berkata, polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini kerana mereka menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan.

"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk satu kawasan," katanya.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Zahid itu menambahkan lagi kebimbangan rakyat dan menguatkan lagi alasan supaya dipanggil segera sidang khas Parlimen bagi membahaskan berleluasanya jenayah itu.

"Jika sidang khas Parlimen itu diadakan, PAS akan memanggil pakar keselamatan yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi polis dan tentera bagi memberikan cadangan dan pandangan.

"Cadangan dan pandangan mereka itu akan dibawa oleh ahli Parlimen PAS untuk dibahaskan jika sidang khas itu dipanggil," katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah ketika kadar jenayah berat naik begitu mendadak dan membimbangkan sedangkan tidak sampai sebulan lalu media pro-kerajaan membantah dan mempersendakan dakwaan sebuah laman web bahawa Kuala Lumpur adalah bandaraya keenam paling berbahaya di dunia.

"Tetapi dengan berleluasanya pembunuhan menggunakan senjata api, dakwaan laman web itu perlu diberi perhatian serius," katanya.

Pertengahan Jun lalu, laman web 10awesome.com mendakwa Kuala Lumpur) dikatakan salah satu bandar yang paling berbahaya di dunia dengan kadar jenayah meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Isnin lalu, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Tiada ulasan: