SHAH ALAM - Pas hari ini mencadangkan tiga perkara yang boleh dilakukan oleh orang ramai bagi mengurangkan kadar jenayah yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man antaranya ialah mengurangkan keadaan berjalan seorang diri , jangan meletakkan kereta di tempat sunyi dan kurangkan menggunakan peralatan elektronik ketika berjalan.

“Memandangkan kadar jenayah yang semakin meningkat, usaha diri sendiri untuk bersama-sama mencegah jenayah adalah satu tindakan yang sangat membantu dalam menangani peningkatan kes jenayah.

“Pas mengemukakan cadangan tersebut bagi membantu rakyat mengurangkan kadar jenayah di Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, untuk melawan kekerapan kes pecah masuk rumah pula, disarankan rakyat mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan perumahan berpagar dan menghidupkan semula rukun tetangga untuk membuat pemantauan sendiri.

Sementara itu, katanya lagi, bagi golongan yang mempunyai kelonggaran kewangan, diharap dapat melabur  bagi menghidupkan sistem penggera yang efektif bagi menghilangkan minat penjenayah untuk bertindak.

 “Mengecilkan peluang untuk penjenayah bertindak adalah langkah proaktif yang rakyat boleh membantu dalam mencegah jenayah.

“Harus diingat, apabila jenayah berlaku yang menanggung derita ialah mangsa sendiri bukanlah mereka yang dipersalahkan terutamanya kegagalan pihak berkuasa dan kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kadar jenayah.

 “Atas sebab itu, rakyat perlu mula peka mulai sekarang dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah proaktif untuk mengecilkan pintu peluang untuk penjenayah bertindak,” katanya.