Selasa, 30 Julai 2013

Astro Shaw: “The New Village” lepasi tapisan pertama tanpa suntingan semula

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK



Astro Shaw hari ini menjawab segala tuduhan yang dilemparkan media berhubung kemelut yang melanda filem "The New Village" yang dikatakakan mengagungkan fahaman komunis.

Pihak penerbitan menjelaskan filem berkenaan telah melalui semua proses tapisan yang digariskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan filem itu telah diklasifikasikan sebagai P13 tanpa memerlukan suntingan kali kedua.

 Astro Shaw memberitahu, "The New Village" akan melalui proses tapisan kedua yang akan dijalankan oleh LPF. Klasifikasi P13 bermakna anak-anak yang berusia di bawah 13 tahun perlu diiringi oleh ibu bapa mereka ke pawagam bagi mengelakkan anak-anak tersebut tersalah tafsir dengan mesej yang cuba disampaikan oleh sesebuah filem.

“'The New Village' merupakan sebuah filem rencana dalam bahasa Mandarin yang mengisahkan sebuah percintaan terlarang. Filem Cina ini memaparkan kesukaran hidup komuniti Cina di sebuah penempatan semula iaitu di Kampung Baru yang diwujudkan penjajah British,” menurut Astro Shaw dalam satu kenyataan yang diberikan kepada The Malaysian Insider.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung tayangan filem "The New Village" yang seharusnya menemui penonton di pawagam pada 22 Ogos oleh kerana filem itu perlu menjalani satu lagi tapisan oleh LPF.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata filem itu telah ditapis tiga ahli panel LPF dan diluluskan pada 7 September 2012 maka pihaknya tiidak teragak-agak untuk membatalkan filem itu sekiranya didapati mengandungi babak mengagungkan komunis.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada Ahad melalui kolumnisnya Awang Selamat menuduh penerbit filem "The New Village" mahu menulis semula sejarah dengan mengangkat perjuangan komunis serta mengiktiraf perjuangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata kebenaran terhadap tayangan filem "The New Village" perlu ditarik balik jika ia mengagung-agungkan peranan komunis dan mencetuskan provokasi.

Ketua Pemuda Umno itu memberitahu berdasarkan tontonan trailer, filem itu tidak boleh diterima dan seolah-olah mengagungkan komunis yang dikenali sebagai pengganas yang banyak melakukan kemusnahan di negara kita.

Tiada ulasan: