Sabtu, 29 Jun 2013

SAMSENG' KHALID: Kecaman Parlimen & siasatan jenayah terhadap KPN digesa Surendran

Oleh  Maria Begum, Malaysia Chronicle

Ahli Parlimen Bagan Serai penggal pertama, N. Surendran, yang juga merupakan seorang peguam Hak Asasi Manusia menyatakan hari ini bahawa beliau akan membawa usul ke Parlimen untuk mengecam Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar di atas kelalaiannya di dalam memastikan keselamatan tahanan polis.

Pada Rabu lepas, Mahkamah Tinggi, di dalam mendengari kes saman sivil, telah memutuskan bahawa Khalid bertanggungjawab di atas kematian A. Kugan, seorang suspek berumur 22 tahun, di bawah tahanan polis dan juga bertanggungjawab di dalam usaha untuk menyembunyi punca kematian suspek itu.

"Saya akan membawa isu-isu yang diketengahkan di dalam keputusan mahkamah semalam semasa debat Titah YDP Agong hari ini," kata Surendran kepada Malaysia Chronicle.

Peguam yang juga merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga ingin kerajaan memulakan siasatan jenayah terhadap Khalid.

"Kerajaan patut menjalankan tindakan disiplin terhadap KPN dan memulakan satu siasatan kerana tindakan penyembuian itu adalah satu jenayah. Penyiasatan jenayah perlu diadakan mengenai kes kematian Kugan," kata Surendran.

Rakyat Rugi Jikalau Kerajaan Tidak Insaf

Merujuk kepada kes A. Kugan di mana pampasan wang dianugerahkan kepada keluarganya, beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia secara menyeluruh akan menghadapi kerugian jikalau pentadbiran Najib Razak tidak insaf dan terus membutakan diri terhadap kes-kes kematian di dalam tahanan.

Kugan dijumpai mati di dalam lokap 5 hari selepas ditahan dan selepas bedah siasat kedua dijalankan diatas desakan keluarganya, punca kematiannya dikenalpasti sebagai akibat deraan dan pemukulan yang dialaminya semasa disoal-siasat.

"Kesemua defendan dianggap sama-sama bertanggungjawab namun kemungkinan anggota-anggota polis yang terbabit mampu membayar pampasan yang dianugerahkan adalah rendah. Di dalam kes Kugan, kerajaan Malaysialah yang akan menerima tuntutan bayaran itu. Ini merugikan rakyat kerana dana awam terpaksa digunakan untuk memberi pampasan akibat salah laku kerajaan dan polis," kata Surendran.

Walaupun kerajaan Umno-BN telah menerima tekanan untuk menyiasat dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sejak beberapa tahun yang lalu tetapi ia masih belum berhasil.

Ramai aktivis berharap bahawa keputusan kes Kugan akan memberi satu lagi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak tegas terhadap anggota keselamatan yang menyalahgunakan kuasa kerana kejayaan kes Kugan mungkin akan membawa lebih banyak lagi kes yang sedemikian untuk keputusan mahkamah.

Kadar kematian dalam tahanan di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara. Laporan rasmi menyatakan bahawa sebanyak 160 insiden sedemikian telah berlaku sejak tahun 2000. Namun demikian bilangan ini dipertikaikan oleh aktivis-aktivis Hak Asasi Manusia yang mendakwa bahawa jumlah kematian adalah lebih tinggi daripada yang dilaporkan. Mereka menekankan bahawa di dalam bulan Mei 2013 sahaja telahpun berlaku 3 kematian yang mencurigakan di dalam masa 11 hari.

Kerajaan Didesak Akur Kepada Nasihat Mahkamah

Pada bulan Januari 2012 lepas, ibu Kugan, N. Indra, telah memfailkan kes saman sivil sebanyak RM 100 juta terhadap kerajaan dan pihak polis. Beliau meminta pampasan di atas "pembunuhan kejam" anaknya.

Defendan-defendan yang dinamakan adalah Khalid, yang merupakan Ketua Polis Selangor pada masa itu, sebagai defendan pertama; Navindran Vivekanandan, seorang pegawai polis yang sebelum ini telah didapati bersalah diatas menyebabkan kematian Kugan, sebagai defendan kedua; Zainal Rashid, bekas OCPD Subang Jaya yang telahpun meninggal dunia, sebagai defendan ketiga, Ketua Polis Negara sebagai defendan keempat, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima.

Yang Arif Hakim VT Singham mengesahkan dakwaan Indra bahawa Kugan telah dipenjarakan secara tidak sah dan defendan-defendan telah "melanggar kewajipan berjaga-jaga" (breach of duty of care) terhadap Kugan. Yang Arif juga memutuskan bahawa Kugan telah "dibunuh". Ini merupakan pengesahan ulung kali yang mengesahkan dakwaan keluarga Kugan manakala sebelum ini pendakwaraya pihak kerajaan cuma membawa dakwaan "melakukan cedera parah" (causing grievous hurt) terhadap pembunuh-pembunuh Kugan.

"Lokap-lokap dan balai polis seharusnya menjadi satu tempat yang selamat untuk setiap insan dan tidak seharusnya dijadikan tempat kejadian jenayah," kata Yang Arif.

Yang Arif juga menggesa pentadbiran Najib Razak untuk menyegerakan penubuhan IPCMC seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2005.

"Syor Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak seharusnya dibiarkan "beku". Ia harus dilaksanakan secepat mungkin supaya setiap lapisan masyarakat, termasuk ahli-ahli keluarga mangsa yang mati, akan yakin bahawa terdapat sebuah agensi bebas yang boleh menyiasat kes-kes yang melibatkan anggota-anggota polis tanpa campurtangan daripada pihak polis sendiri," sahut Yang Arif.- Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: