jerebu
Ruang udara Putrajaya kelihatan kabur akibat diselubungi jerebu - Foto Bernama 
 
KUALA LUMPUR - Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 4 petang, 27 Jun 2013 (Khamis) mencatatkan maklumat-maklumat berikut:-

(i) 20 stesen berada pada tahap baik;

(ii) 28 stesen berada pada tahap sederhana; dan

(iii) 1 stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan (IPU
125).

Secara keseluruhannya, status kualiti udara sehingga jam 4 petang ini terus bertambah baik di mana hanya 1 kawasan yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (IPU antara 101 hingga 200) berbanding sebanyak 3 kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada jam 4 petang semalam, 26 Jun 2013.

Hujan yang turun di kebanyakan kawasan di Lembah Klang pada lewat petang dan malam sebelum ini telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan partikel jerebu di ruang udara dan menyebabkan kualiti udara semakin bertambah baik.

Selain itu, peningkatan status kualiti udara juga dipengaruhi keadaan cuaca dalam negara apabila kekuatan angin barat daya yang bertiup dengan kelajuan lemah pada skala kurang daripada 10 km sejam dan angin dari pelbagai hala telah menyerakkan ketebalan asap jerebu sebelum ini ke kawasan yang lebih meluas meliputi keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia.

Keadaan cuaca dan pergerakan angin ini dijangka akan berterusan sehingga esok, Jumaat, 28 Jun 2013. Dalam tempoh tersebut iaitu sehingga 28 Jun 2013 ini, adalah dijangka kualiti udara akan bertambah baik berbanding sebelum ini dan stabil sekiranya punca kebakaran atau titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah, Indonesia terus berkurangan.

KRONOLOGI TINDAKAN

Bermula pada 24 Jun 2013, bacaan IPU setiap jam untuk makluman orang awam telah boleh diakses melalui laman portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di alamat url www.nre.gov.my dan mulai pada 26 Jun 2013 di laman portal Jabatan Alam Sekitar di alamat url www.doe.gov.my. Langkah ini akan membolehkan orang awam mendapat maklumat yang terkini mengenai status kualiti udara dan keadaan jerebu.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 26 Jun 2013 menunjukkan lingkaran asap jerebu telah berkurangan dan menipis dan kini tertumpu di kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia.

Pihak ASMC juga melaporkan bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 di Sumatera, Indonesia pada semalam, 26 Jun 2013 telah berkurangan iaitu sebanyak 59 titik panas berbanding 174 titik panas yang dikesan pada 25 Jun 2013.

Di Malaysia, bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 pada semalam, 26 Jun 2013 adalah sebanyak 32 titik panas iaitu di Johor (7), Melaka (3), Negeri Sembilan (3), Pahang (8), Sarawak (9) dan Sabah (2) .

TINDAKAN DI PERINGKAT TEMPATAN

Berikutan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami kemerosotan kualiti udara pada tempoh lebih seminggu lalu, Ketua Pengarah Alam Sekitar telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 KECUALI bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut:-

i. Pada 25 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Perak dan Pulau Pinang;

ii. Pada 24 Jun 2013 meliputi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah
Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu; dan

iii. Pada 19 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor.

Semua Perintah Larangan tersebut adalah masih berkuatkuasa sehingga masa kini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telahpun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.

Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.

PENGUATKUASAAN KE ATAS KESALAHAN PEMBAKARAN TERBUKA

Pada tahun ini sehingga kini, sebanyak 248 kes kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dikeluarkan kompaun, sebanyak 14 kes kesalahan akan dibawa ke mahkamah dan sebanyak 36 kes telah dikeluarkan Notis Arahan. Bilangan aduan pembakaran terbuka yang direkodkan sepanjang tempoh jerebu iaitu dari tempoh 14 Jun 2013 hingga 26 Jun 2013 adalah sebanyak 293 aduan.

TINDAKAN DI PERINGKAT DUA HALA (BILATERAL)

YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menemui rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada 27 Jun 2013 (Khamis) bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentasi sempadan.

Malaysia juga akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang telah diwujudkan semenjak tahun 2002 serta mempertingkatkan keberkesanan tindakan di peringkat tempatannya melalui Pelan Tindakan Indonesia Dalam Menangani Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.

Mesyuarat Ke-15 Sub-Regional Ministerial Steering Committee On Transboundary Haze Pollution (MSC) akan diadakan pada 17 Julai 2013 di Kuala Lumpur bagi membincangkan penyelesaian segera terhadap masalah pencemaran jerebu merentasi sempadan.

NASIHAT / MAKLUMAN

Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami Negara, orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.


SUMBER : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
NAMA  : Mohd Haizul bin Hod
TEL   : 03-8886 1585 (DL)
FAKS  : 03-8889 4763
E-MEL : haizul@nre.gov.my

 - Bernama