Jumaat, 28 Jun 2013

DAP gesa KPN letak jawatan untuk kembalikan keyakinan umum

Oleh Mohd Farhan Darwis

Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya boleh mengembalikan kepercayaan rakyat dengan meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara (KPN), atau menjalankan siasatan terhadap 230 kes kematian dalam tahanan termasuk kes A. Kugan, kata Lim Guan Eng(gambar).


Mahkamah sebelum ini memutuskan Khalid bertanggungjawab atas kematian Kugan yang didera secara fizikal ketika soal siasat oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) empat tahun lalu.

"Beliau hanya boleh mengembalikan keyakinan orang awam dengan mengatakan beliau tidak terlibat atau menjalankan siasatan terhadap kes kematian sejak 2000 hingga Mei 2013, ataupun meletak jawatan sebagai ketua polis," kata Setiausaha Agung DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Lim turut menegaskan, berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang hanya boleh melakukan cadangan dan saranan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti disarankan mahkmah.

"IPCMC boleh menjatuhkan hukuman kepada anggota polis yang menyalahguna kuasa mereka ... Atau berapa ramai lagi yang perlu mati sebelum IPCMC ditubuhkan," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

A. Kugan telah ditahan di balai polis Taipan, Subang dan kemudiaanya telah dipukul oleh polis serta mengalami 45 kecederaan luaran dan di bahagian dalam badan. Mangsa mati selepas buah pinggangnya tidak berfungsi akibat pukulan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berhadapan tekanan apabila Mahkamah Tinggi memutuskan beliau berhadapan kes untuk dibicarakan akibat tuduhan menyerang seorang lelaki yang cuba memikat anak perempuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham berkata, Khalid yang pada ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan dalam kes ini.

Keputusan hakim ini dijangkakan akan membuka ruang kepada lebih banyak saman kepada pihak polis.

Singham, dalam membenarkan saman kecuaian itu berkata, beliau juga percaya kecederaan yang berlaku ke atas Kugan tidak mungkin dilakukan oleh seorang pegawai.

"Mahkamah juga mendapati beberapa percanggahan ketara antara Khalid dan lain-lain saksi berkenaan dengan penyiasatan ke kematian si mati," katanya.

"Tiada seorang pun dalam mana-mana kedudukan atau pangkat apabila memberi keterangan di mahkamah mengambil mudah mahkamah ini dan cuba menutup kebenaran untuk melarikan diri."

Singham juga memuji peguam hak asasi manusia, N. Surendran yang membawa kes ini dan membantu untuk bedah siasat kedua dilakukan.

"Jika tidak kerana dia, perkara itu telah disembunyikan."

Beliau juga berkata terdapat keperluan segera untuk mempertimbangkan cadangan suruhanjaya diraja itu dalam menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana peningkatan kematian dalam tahanan.

Singham juga memberikan pampasan sebanyak RM851,700 kepada N. Indra di atas serangan terhadap Kugan, penahanan salah, kecuaian dan pampasan kecederaan dan penderitaan.

Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, secara spesifiknya menamakan Khalid, mendakwa beliau cuba menyembunyikan punca kematian Kugan

Tiada ulasan: