Jumaat, 31 Mei 2013

Sultan Selangor : Utama Kehendak Rakyat, Jauhi Gejala Rasuah


sultan exco baru 2013 01

KLANG,: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengutamakan kehendak rakyat selain terus memacu negeri menjadi lebih maju.

Baginda bertitah ketika Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, sekarang merupakan masa untuk melaksanakan janji Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seperti yang dinyatakan di dalam manifesto.

“Peranan utama Datuk Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat adalah untuk membangunkan program yang memberikan impak sebenar kepada Negeri Selangor ke arah mencapai kemajuan dan kemakmuran.

“Setiap tanggungjawab yang bakal dipikul hendaklah dikendalikan secara intelektual dan bukan secara emosi dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing.

“Beta menyeru agar keutamaan diberikan ke arah mencapai kemajuan Negeri Selangor ini disamping memastikan kehidupan rakyat yang berbilang kaum hidup dengan selesa, aman, damai dan harmoni sehingga ke generasi akan datang,” titah baginda.

Baginda juga menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat menjauhkan diri daripada rasuah kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan imej seseorang dan merosakkan negeri.

“Rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat di dalam gejala rasuah,” titah baginda lagi.

Rakyat kini, titah baginda makin bijak menilai serta mengetahui kehendak dan keperluan mereka ditambah dengan bantuan media massa yang bebas dan media elektronik yang canggih untuk mendapatkan maklumat lebih pantas.

Sultan Selangor hari ini berkenan menyampaikan watikah Pelantikan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah Klang.

Dua minggu lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi dipilih menjadi Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua bagi menerajui pentadbiran Negeri Selangor.

Kerajaan Selangor turut mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang mempunyai Speaker wanita dengan perlantikan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke jawatan itu.

Tiada ulasan: