Selasa, 28 Mei 2013

Runtuh: Henti beri projek kepada kontraktor kroni



Khairul Azlam Mohamad 
 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu diingatkan agar segera menghentikan amalan pemberian atau tender projek kepada kontraktor-kontraktor kroni.
Justeru, Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Ibrahim Sultan Ismail (gambar) tidak bersetuju jika beban permasalahan tersebut sepenuhnya dikenakan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja.

“Jika proses pemberian tender ini dilakukan dengan bersih, adil dan telus tanpa unsur-unsur rasuah dan tidak diberi kepada syarikat-syarikat kroni. Maka, persoalan keruntuhan (bangunan) ini dapat dikurang atau dapat dibendung.

“Ia bermula dari cara tertentu seperti tawaran (tender) yang telus untuk menentukan pemberian projek itu mengikut kemampuan mereka yang membuat tawaran.

“Saya tidak setuju dibebankan sepenuhnya kepada pihak JKR, apabila ada projek-projek yang menerima ‘ajal’ (keruntuhan) di negeri Terengganu ini,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berkata, peringatan tersebut bagi mengurang dan membendung permasalahan kegagalan projek atau berterusan berlakunya tragedi ‘keruntuhan’ bangunan di negeri ini.

Malah, kata Tengku Ibrahim, meski pun terdapat projek-projek yang diberi secara tender terbuka tetapi ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengarahkan projek berkenaan diberikan kepada kontraktor kroni.

Tiada ulasan: