Jumaat, 31 Mei 2013

Pasukan keselamatan sentiasa pantau kawasan terlibat pencerobohan

SINAR HARIAN

Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negera Tan Sri Khalid Abu Bakar bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar yang menyertai Summer Camp 2. - Foto Bernama
 
PORT DICKSON - Pasukan keselamatan sentiasa memantau kawasan persisir pantai timur Sabah yang terlibat dalam kejadian pencerobohan pengganas dari selatan Filipina Febuari lepas bagi memastikan ia bebas daripada sebarang ancaman.
  
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan di kawasan itu.
  
"Pihak perisikan kita sentiasa memantau keseluruhan kawasan berkenaan dan pasukan keselamatan akan memaklumkan kepada penduduk setempat jika berlaku sebarang ancaman," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa terdapat kumpulan pengganas Kiram akan memasuki Sabah melalui Sandakan dan beberapa kawasan lain bulan depan.
  
Zulkifeli ditemui pada majlis penutup 'Summer Camp 2 - Program Remaja Berwawasan Peringkat Nasional' di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini. Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sehubungan itu, Zulkifeli meminta penduduk di kawasan berkenaan supaya tidak mendengar khabar angin itu dan sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak berkuasa.
  
"Jadi, yakinlah bahawa jika ancaman itu akan timbul, kami akan tahu...jadi tak perlu bimbang. Kami pantau khabar angin itu dan setakat ini tidak nampak kesahihannya," katanya.
  
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Zulkifeli berkata program seumpama itu akan membentuk pelajar menjadi insan cemerlang serta berguna kepada negara dan masyarakat.
  
Seramai 1,149 pelajar lelaki tingkatan dua hingga lima dari 41 sekolah menengah di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor menyertai program lima hari itu yang dijalankan tiga agensi utama iaitu ATM, PDRM dan Kementerian Pelajaran. - Bernama

Tiada ulasan: