Khamis, 30 Mei 2013

PAS peneraju penting Selangor



Oleh Abd Shukur Harun 

TIDAK syak lagi bahawa kejayaan PAS Selangor memenangi 15 kerusi Dun dalam PRU13 lalu membuktikan bahawa parti di bawah pimpinan Pesuruhjayanya, Dr Rani Osman telah menjadi peneraju penting kerajaan Pakatan Rakyat negeri terkaya itu. 

Pakatan Rakyat Selangor mendapat majoriti lebih besar iaitu memenangi 44 kerusi Dun, sementara Barisan Nasional hanya dapat 12 kerusi.

Walaupun Pakatan Rakyat kalah di beberapa kerusi di sebelah utara negeri itu seperti Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Ulu Selangor, pencapaiannya, khususnya PAS di Selangor, sangat luar biasa, meletakkanya pada kedudukan penting.

Dengan demikian, PAS telah memberi sumbangan besar kepada kemenangan Pakatan Selangor, walaupun ia bertanding kebanyakannya di kawasan majoriti Melayu.

Dr Rani memberitahu saya bahawa gerak kerja PAS Selangor untuk mencapai kemenangan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah dirancang begitu rapi. Dalam hal ini, diucapkan tahniah kepada seluruh penggerak jentera pilihan raya Negeri Selangor yang diketuai pengarahnya yang berpengalaman, Cikgu Jaafar Shamsudin.

Tungkus lumus jentera pilihan raya PAS ini mendapat kerjasama erat jentera pilihan raya Pemuda, Muslimat dan Ulama, dengan gandingan jentera penerangan yang diketuai oleh Ir Shaari Sungib.

Sebelum ini, memandangkan serangan bertalu-talu pihak Umno- BN untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat dalam PRU itu, ramai meramalkan bahawa kerajaan Pakatan Selangor pimpinan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim ini sukar dipertahankan. Malah ada yang meramalkan paling tinggi peluang Pakatan mempertahankan Selangor ialah 50-50.

Para pemimpin BN, khususnya Dato’ Seri Najib Razak sendiri, di samping Tun Mahathir Mohamad dan menteri BN yang lain silih berganti datang berkempen untuk menawan Selangor, di samping kerja keras pemimpin Umno-BN Selangor sendiri. Curahan wang tidak boleh dikira lagi. Malah mereka semua berpendapat, BN ‘mesti menang di Selangor’.

Ini menunjukkan kedudukan dan kepentingan Selangor begitu mahal sekali dan ia menjadi permata dalam mahkota termahal bagi negara ini.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan saya sendiri dari dekat yang mengikuti gerak kerja jentera PAS di beberapa kawasan di Selangor sebelum PRU mendapati usaha yang sangat bersugguhsungguh dengan strategi yang digunakan, saya memang yakin PAS sendiri akan dapat menawan banyak kerusi di Dun yang ditandinginya.

Memang ada masalah untuk menembusi beberapa kawasan yang menjadi kubu kuat BN selama ini, terutama di Ulu Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan beberapa kawasan lagi.

Bagaimanapun, saya yakin, selepas ini PAS Selangor yang bertanding kebanyakannya di kawasan majoriti Melayu di Selangor akan segera berusaha ‘menangani’ kawasan yang sukar ditawan dalam PRU yang lalu, walaupun jumlahnya kecil.

Kejayaan PAS Selangor ini juga, seperti kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, telah memecahkan imej PAS sebagai parti kampung kerana PAS tidak hanya memerintah Terengganu dan Kelantan, tetapi juga berjaya memerintah Selangor bersama Pakatan Rakyat.

Inilah, katannya, yang amat ditakuti oleh Umno-BN kerana PAS kini telah diterima di bandar dan di pinggir bandar. Oleh itu, katanya, PAS mesti bekerja keras membantu meneruskan pembangunan di Selangor dan ini satu cabaran kepada para pemimpin PAS Selangor.

Dengan kepesatan pembangunan Selangor menyebabkan begitu banyak bandar baru dibuka, di mana kawasan bandar semakin meluas menyebabkan penduduknya terdedah kepada pelbagai maklumat yang dibawah oleh media baru dan tidak bergantung kepada radio, TV dan akhbar harian biasa.

Ditambah pula Selangor begitu banyak institusi pengajian tinggi, maka jumlah rakyat Selangor yang terpelajar begitu tinggi, menyebabkan ia menjadi negeri termoden, bahkan ia menjad role model di negara ini. Banyak bandar – seperti Shah Alam sendiri, Petaling Jaya, Damansara, Subang Jaya, USJ, Sunway, Ampang, Gombak, Pandan dan banyak lagi menjad bandar kosmopolitan yang termoden.

Pengarah Institut Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Dato’ Dr Mohd Redzuan Othman dalam kajiannya mendapati bahawa kemenangan Pakatan Rakyat, antaranya, di sebabkan beberapa faktor, antaranya;

1. Kawasan itu kawasan bandar dan banyak institusi pengajian tinggi menyebabkan ramai golongan terpelajar yang boleh berfikir.

2. Kawasan itu kawasan bandar yang terdedah kepada pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber di mana penduduknya tidak lagi bergantung kepada media tradisional untuk mendapatkan maklumat.

3. Banyaknya pengundi generasi baru yang berfikiran sangat terbuka.

Ketiga-tiga faktor ini ada di negeri Selangor di mana negeri ini paling banyak institusi pengajian tinggi dan paling banyak golongan muda dan terpelajar.

Oleh kerana ia sebuah negeri termoden, maka ia menerima nilainilai moden dan penduduknya menerima serta mengamalkan demokrasi.

Di sinilah, saya fikir, kekuatan PAS yang menyerlah dalam PRU yang lalu di Selangor, di mana PAS, yang suatu masa dulu dengan imej parti Pak Lebai, kini merangkul kemenangan di negeri termoden di Malaysia.

Sebab itu, Umno-BN bukan saja gagal mencapai dua pertiga di Parlimen, tetapi juga gagal menewaskan Pakatan Rakyat di Selangor.

Oleh itu, dengan kemenangan kurnia Allah ini, hasil kerja keras Pakatan, maka PAS-Pakatan mestilah berusaha bersunggguhsungguh mempertahakan kemenangan yang amal mahal ini di samping memenangi kawasan yang tewas dalam PRU lalu.

Dengan integriti, profesionalisme yang tinggi dan aura yang ada pada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim serta dengan kerja kuat semua pendukung Pakatan Rakyat, tidak mustahil Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan lebih besar lagi di negeri termoden dan terkaya ini.

Tiada ulasan: