Jumaat, 31 Mei 2013

Mesyuarat pertama Exco Selangor bermula petang ini

Oleh: Aisha Geofrey

SHAH ALAM: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco)  memulakan tugas rasmi sejurus selepas istiadat mengangkat sumpah, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

MB Exco

“Kita juga akan memulakan mesyuarat pertama pada petang ini kerana kita tak mahu bazirkan masa sehingga satu minggu tanpa ada mesyuarat dan perbincangan bersama,” kata Khalid ketika sidang media di Istana Alam Shah, hari ini.

Beliau berkata keutamaan tugas barisan Exco kali ini adalah meningkatkan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Selangor serta  kemudahahan awam terutamanya menaik taraf jalan raya.

“Selain menangani isu air dan jalan raya, kerajaan Selangor juga komited untuk meneruskan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat di samping melipat gandakan pembangunan ekonomi,” jelasnya.

Barisan Exco kali ini terdiri daripada gabungan ahli baru dan lama, yang turut menyaksikan pertambahan wanita lebih ramai dalam pentadbiran negeri.

Antara ahli Exco yang baru termasuk Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang memegang portfolio Kesihatan, Pembangunan Usahawan serta Sains, Tekonologi dan Inovasi. Speaker pada 2008, Datuk Teng Chang Kim juga membarisi barisan Exco kali ini dengan memegang portfolio Kerajaan Tempatan serta Kajian dan Penyelidikan.

Selain itu, Ean Yong Hian Wah (Adun Sri Kembangan) dan V. Ganapathi Rao (Adun Kota Alam Shah) juga merupakan antara muka baru yang ditampilkan bagi penggal ini.

“Saya yakin barisan Exco mampu memberi komitmen yang tinggi terhadap bidang tugas yang telah diamanahkan demi meneruskan kecemerlangan kerajaan Selangor,” kata Khalid mengulas perlantikan tersebut.

Tiada ulasan: