Jumaat, 31 Mei 2013

DAP: RoS perlu hati-hati keluarkan kenyataan

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
Teresa Kok
 
SHAH ALAM - Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) digesa lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, demikian menurut Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Ketua Pengarah RoS, Datuk Abdul Rahman Othman yang berkata ramai anggota DAP yang layak, tidak menerima notis panggilan untuk menghadiri kongres kebangsaan parti pada 15 Dis lalu.

Menurut Teresa, perkara ini timbul disebabkan beberapa masalah termasuk surat yang dihantar tidak sampai ke rumah anggota DAP kerana pertukaran alamat.

Selain itu katanya, terdapat juga usaha daripada beberapa anggota DAP yang mempunyai masalah disiplin mengadu perkara ini kepada RoS bagi menjejaskan imej parti.

“ Semua orang tahu, konvesyen DAP telah  dihebohkan sebelum tarikhnya lagi, bukannya ahli perwakilan tidak tahu, sepatutnya ahli perwakilan ini merujuk kepada ibu pejabat DAP, bukannya mengadu kepada pihak luar.

“ Jadi perkara ini sepatutnya tidak dipolitikkan, jangan membuat tuduhan yang tidak baik ke atas parti DAP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Abdul Rahman berkata, keputusan siasatan itu diperoleh selepas siasatan ke atas aduan daripada anggota DAP yang tidak menerima notis tersebut. 

"Anggota-anggota DAP yang tidak menerima notis itu telah dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan di kongres tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas perkara sama, Teresa turut mengharapkan supaya RoS lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan parti itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman juga memaklumkan bahawa RoS akan meneruskan siasatan terhadap isu lain yang dikemukakan pengadu dan akan meneliti semua dokumen sebelum keputusan dibuat berdasarkan Akta Pertubuhan 1966.

Isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh anggotanya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada hari tersebut.

Tiada ulasan: