Jumaat, 31 Mei 2013

Bukti 50 tahun BN gagal sediakan akses jalan raya di Sarawak

Roketkini.com

 

KUCHING: DAP terkejut dan kesal dengan tragedi bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga, pagi semalam mengakibatkan 23 penumpang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan kerana waktu malam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata setakat ini, 181 penumpang berjaya berenang ke tempat selamat selepas bot ekspress yang karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan dari Sibu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bot ekspres itu dipercayai membawa 200 penumpang yang melebihi kapasiti 67 tempat duduk ketika pulang daripada pesta Gawai Dayak, kemudian menghadapi masalah enjin yang gagal berfungsi sebelum merempuh batu dan karam.

Katanya, Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak (SRB), Datuk Roland Sagah mengumumkan satu siasatan penuh akan diadakan terhadap insiden tragis itu dan memberi amaran tindakan akan diambil terhadap operator bot kerana gagal mengikut peraturan tidak membawa lebih muatan atau membenarkan penumpang memanjat bumbung apabila kapal terlalu penuh ketika menyelusuri di sungai.

Bagaimanapun, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ge;lang Patah, malangnya, siasatan sedemikian tidak akan mengembalikan nyawa mereka yang telah terkorban dalam insiden kemalangan bot di Sarawak itu.

Dua tahun lalu, 13 penumpang terkorban dalam tragedi bot yang serupa di kawasan Tatau berhampiran pekan Bintulu.

Kemalangan bot itu sepatutnya dianggap sebagai bencana negara kerana itu merupakan bukti tragis kegagalan 50 tahun pembangunan di Sarawak yang masih tidak mempunyai akses jalan raya ke kawasan pedalaman.

“Kemalangan bot itu sepatutnya dianggap sebagai bencana negara kerana itu merupakan bukti tragis kegagalan 50 tahun pembangunan di Sarawak yang masih tidak mempunyai akses jalan raya untuk ke kawasan pedalaman.

“Kekecewaan rakyat Sarawak, terutamanya Dayak, disebut dengan jelas di dalam surat kepada sebuah portal berita daripada seorang “jurutera instrumen” Shell Malaysia yang menyatakan:

“Bilangan penumpang yang menaiki bot ekspress dari Sibu ke Song, Kapit dan Belaga meningkat setiap tahun. Dan ia bukanlah perjalanan yang singkat dan selamat.

“Perjalanan memakan masa berjam-jam lamanya. Sungai Rajang penuh dengan serpihan daripada aktiviti pembalakan di hulu sungai. Di beberapa bahagian terdapat jeram.

“Ini bukan tragedi sungai pertama. Terdapat banyak kematian yang tidak masuk akal sebelum ini.

“Jarak dari Kanowit ke Kapit lebih kurang 100km. Namun, mengejutkan apabila memikirkan pembinaan itu tidak langsung dijadualkan akan siap dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sebaliknya, laluan dua hala dari Cameron Highland ke Bentong, disiapkan dalam tempoh 3 tahun. Jarak dan bentuk muka bumi yang sama.

“Sistem BN tidak mampu memberikan keadilan sosio-ekonomi, kerana kek ekonomi dibahagikan dari atas ke bawah mengikut kaum dan hirarki dalam parti.

“Ini, malangnya, merupakan sistem yang penduduk pedalaman pilih dalam pilihan raya.

“YB akan memberikan keranda berharga RM300 untuk si mati, dan kaum keluarga akan selamanya bersyukur.

“Itulah komedi tragis yang menimpa saudara kita dan manusia yang tidak berdaya, di dalam genggaman BN.”

Kit Siang berkata, ini merupakan dakwaan yang kuat bukan saja terhadap kegagalan pembangunan saksama di Sarawak selepas 50 tahun tetapi juga seluruh sistem politik pentadbiran yang membusuk di peringkat negeri dan nasional.

Katanya, tragedi bot karam sepatutnya menjadi agenda utama dua mesyuarat hari ini – pertama, hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak dan kedua, mesyuarat kedua Kabinet pasca-PRU13 Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pagi ini.

“Kedua-dua Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Kabinet Persekutuan sepatutnya mengeluarkan respon segera untuk pelan yang mendesak bagi memberi keutamaan tertinggi akses jalan raya pertama, di Bakun-Balaga-Bintulu dan kedua, Kanowit-Song-Kapit.

“Jika tidak, kemalangan bot dan kegagalan pembangunan saksama di Sarawak sejak 50 tahun lalu dengan tiadanya akses jalan raya ke kawasan pedalaman di negeri itu mestilah menjadi topik utama Ahli Parlimen Sarawak, Sabah atau Semenanjung Malaysia pada sidang pertama Parlimen ke-13 selama 16 hari mulai 24 Jun ini,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: