Isnin, 29 April 2013

Tiada jaminan ulama menang

FARUSH KHAN

PRU13
PRU13
 
SHAH ALAM – Berbanding dengan pilihan raya umum  (PRU) yang silam, PRU13 menyaksikan lebih ramai ulama ditampilkan untuk menjadi calon.

Keadaan ini wujud bukan sahaja dalam parti yang meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mereka, bahkan parti yang menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan kepentingan pembangunan fizikal.

Justeru, untuk mengatakan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) sebagai satu-satunya parti yang menampilkan ulama sebagai calon adalah tidak tepat, kerana parti seperti Umno, parti pemerintah dalam gabungan Barisan Nasional (BN), juga turut memberi tumpuan dan tempat kepada ulama dalam setiap PRU.

Bezanya hanyalah parti mana yang meletakkan lebih ramai tokoh ulama dalam barisan calon-calon mereka dan sejauh mana mereka dikenali, diterima dan mampu menjadi calon boleh menang.

Kemenangan cemerlang BN pada PRU11 juga tidak boleh dinafikan mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh agama dan ulama, yang sekali gus dikaitkan pula dengan kejujuran, ketelusan dan keadilan.

Parti itu diberi mandat di luar jangkaan barangkali disebabkan latar belakang dan personaliti perdana menteri ketika itu, yang dikaitkan dengan pengaruh ulama dan agama.

Masalahnya, prestasi cemerlang seperti ini tidak bertahan lama, bukan kerana perubahan sikap pemimpin, tetapi kerana ketidakpuasan hati rakyat dengan perkhidmatan yang diberikan.

Terbukti, latar belakang sahaja bukan jaminan seseorang calon boleh menang pilihan raya.

Yang menjadi pilihan rakyat dalam setiap PRU tetap kepada tokoh yang terkenal, mempunyai pengaruh yang kuat dan membuktikan kemampuan serta kesediaan mereka untuk berkhidmat, memperjuang dan mengamalkan apa yang diajar, walaupun mereka bukan ulama.

Sebagai contoh, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak dikenali sebagai tokoh ulama, namun pada 1969, kerana ketokohan beliau, beliau menewaskan tokoh agama dan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Asri Muda, yang dua tahun kemudian menjadi Presiden Pas. Tengku Razaleigh terus menang dalam setiap PRU yang ditandinginya.

Sebaliknya, Datuk Dr Haron Din, tokoh agama yang sangat terkenal dan berpengaruh di seluruh negara terutama disebabkan kelulusan, peranan dan perkhidmatannya kepada masyarakat, tewas dalam PRU 2004 dan PRU 2008.

Apakah dengan memilik MA Syariah dari Ain-Shams, Universiti Kaherah dan PhD Syariah, di samping banyak jawatan, termasuk sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas, ahli Majlis Fatwa Selangor dan Perlis, tidak cukup untuk beliau dipilih? Apakah pengundi berasa walaupun beliau layak menjadi wakil rakyat, tetapi beliau lebih layak meneruskan sumbangan sebagai seorang ulama dan pendidik?

Sekali lagi terbukti, ulama bukan jaminan untuk memenangi pilihan raya.

Untuk PRU13, BN sudah pun membariskan beberapa tokoh agama sebagai calonnya. Antara yang dikenali ialah Dr Fathul Bari Mat Jahaya, seorang alim muda berusia 33 tahun dan pendakwah yang aktif mengajar di majlis-majlis pengajian ilmu di dalam dan luar negara. Turut dicalonkan oleh BN ialah bekas kadi Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim (Layang-Layang), antara lain.

Bagi Pas, di samping Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tokoh-tokoh agama yang turut dipilih sebagai calon ialah Mohd Shamsul Mohd Yusoff (Pasir Tumboh), Nasrudin Hassan (Temerloh), penceramah Mohd Azam Mohd Razak (Endau) dan Kamaruddin Sedik (Serkam), antara lain.

Ketokohan mereka sebagai orang agama, kelulusan mereka di bidang agama dan kesediaan mereka untuk menunaikan amanah dengan sebaiknya tidak dipersoalkan, namun apakah ada jaminan bahawa mereka akan dipilih oleh pengundi seperti yang diharapkan oleh parti masing-masing?

Apa pun, keputusannya tetap di tangan pengundi dan persoalan ini hanya akan terjawab pada Mei 5 nanti.

Tiada ulasan: