Isnin, 29 April 2013

34 peratus pemilih selesai mengundi secara pos di Beijing setakat 11 pagi

SINAR HARIAN

Iskandar Sarudin
Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin tiba di Kedutaan Malaysia hari ini untuk membuang undi pada jam 11 pagi untuk Parlimen Rembau dan Dun Rantau. 
 
BEIJING - Seramai 61 orang atau kira-kira 34 peratus daripada 177 rakyat Malaysia yang tinggal di ibu negara China ini, selesai mengundi secara pos di Kedutaan Malaysia di sini setakat pukul 11 pagi tadi.

Pengundi pos berkenaan, yang terdiri daripada 55 pengundi tidak hadir (PTH) dan 122 pengundi luar negara, termasuk petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), akan menunaikan hak mereka untuk mengundi hari ini.

Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin berada di sini pada 11 pagi untuk mengundi bagi kerusi parlimen Rembau dan kerusi dewan undangan negeri Rantau, Negeri Sembilan.

Beliau menggesa mereka yang layak mengundi supaya menunaikan hak masing-masing sebagai pemilih.

"Ramai rakyat Malaysia di sini (Beijing) mungkin tidak mengundi pada PRU13 atas sebab usia," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau memuji usaha SPR mewujudkan pusat khas bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan hak mereka sebagai pemilih melalui sistem baharu pengundian melalui pos.

Sebelum Januari 2013, hanya PTH iaitu petugas awam yang berkhidmat di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dan pelajar sepenuh masa yang tinggal di luar negara serta pasangan masing-masing, dibenar mengundi di luar negara.

PRU13 menyaksikan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, dibenar mengundi untuk julung kalinya.

Selain Kedutaan Malaysia di sini, rakyat Malaysia yang tinggal di China boleh mengundi melalui pos di Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Kunming, Guangzhou dan Hong Kong antara 9 pagi dan 6 petang hari ini.

Mereka yang tinggal di Taiwan pula boleh mengundi di Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei. - Bernama

Tiada ulasan: