Ahad, 31 Mac 2013

Pakatan tubuh MPKR, bidas cara kerajaan kendalikan isu keselamatan di Sabah

Oleh Md Izwan

 Anwar berkata majlis ini akan membantu Pakatan Rakyat dalam hal ehwal pertahanan dan keselamatan negara. - Gambar Reuters PETALING JAYA — Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengumumkan menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat (MPKR) yang berperanan untuk menasihati pemimpin PR tentang isu keselamatan dan pertahanan, serta memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan keselamatan negara.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini, Tan Sri Jeneral (B) Md Hashim Hussein dilantik sebagai pengerusi MPKR dan bertanggungjawab menguruskan majlis tersebut.

“Sidang media hari ini ialah bagi mengumumkan perlantikkan Tan Sri Md Hashim Hussein sebagai pengerusi Majlis Penasihat Keselamatan Rakyat... ia diputuskan sebulat suara oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

“Majlis ini akan membantu Pakatan Rakyat dalam hal ehwal pertahanan dan keselamatan negara,” kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hashim merupakan bekas ketua turus angkatan tentera darat Malaysia dilantik memandangkan pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya tentang aspek keselamatan dan pertahanan negara, kata Anwar lagi.

Hashim berkata objektif penubuhan MPKR antaranya ialah bagi bagi mengenalpasti mekanisma terbaik untuk keselamatan dan pertahanan negara disamping mencari jalan penyelesaian ketika berlaku sesuatu konflik atau ancaman terhadap ancaman negara.

“Antara objektifnya ialah penetapan tugas dan tanggungjawab bagi mewujudkan satu arahan selaras dalam arahan dan kawalan, serta melihat tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu-isu ancaman negara.

“Selain itu, ia juga akan memberi khidmat nasihat kepada pasukan keselamatan dalam menyelesaikan sesuatu konflik,” kata Hashim.

Mengulas lanjut, Hashim memberikan contoh insiden yang berlaku di Lahad Datu, Sabah dimana berlaku banyak pertikaian daripada segi arahan dan kawalan sepanjang insiden pencerobohan pengganas Sulu tersebut.

“Sebagai contoh, di Sabah baru-baru ini, saya lihat ada penglibatan politik yang luar biasa dalam menangani insiden pencerobohan tersebut.

“Itu apa yang saya nampak, contohnya ialah mengapa tidak membiarkan panglima tentera di Sabah mengendalikan isu tersebut kenapa panglima di semenanjung yang perlu ditugaskan ke sana? Ini wujudkan pertikaian arahan,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: