Jumaat, 29 Mac 2013

MIC gagal bela nasib graduan perubatan India di Ukraine

Rugayya Rahman

KUALA LUMPUR : MIC gagal membela nasib graduan perubatan keturunan India yang berdepan masalah meneruskan kerjaya mereka di negara ini, kata S Jayathas.

Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Undang-undang KEADILAN itu, berkata ia berikutan penarikan balik pengiktirafan kementerian terhadap Universiti Perubatan Negeri Crimea, Ukraine (CSMU).

“Isu berlarutan hampir lapan tahun, MIC gagal tangani. Bagaimana mereka boleh mengaku bela nasib masyarakat India. Bagi saya, MIC gagal,” katanya.

Beliau pada kenyataan media semalam, merujuk masalah seramai 1,680 graduan perubatan Malaysia di CSMU termasuk 1,000 berketurunan India.

Sehubungan itu, Jayathas menggesa Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) digesa menilai semula status CSMU bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Sejak pengiktirafan CSMU ditarik balik pada 2005, katanya, graduan yang menamatkan pengajian di situ, mengalami masalah untuk meneruskan kerjaya.

Beliau juga menganggap penarikan pengiktirafan itu tidak munasabah kerana CSMU  tidak diberi tempoh untuk memperbaiki tahap kelayakan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Apatah lagi, katanya, CSMU dikenali di peringkat global dan berada di kedudukan teratas WHO dan Unesco manakala yurannya lebih murah berbanding di Malaysia.

“Yuran keseluruhan CSMU cuma RM110,000 berbanding RM200,000 untuk Kolej Universiti Perubatan di Malaysia. Ramai graduan CSMU berkhidmat di Amerika, United Kingdom, German dan negara lain,” katanya.

Jika kerajaan BN terus gagal mengatasi isu ini, Jayathas berkata, Pakatan Rakyat akan memastikan pembelaan mereka sebaik sahaja menawan Putrajaya.

“KEADILAN akan kaji semula taraf CSMU selepas Pakatan ambil alih Putrajaya. Kita takkan campur aduk isu perkauman dengan kepentingan rakyat,” katanya.(FZL)

Tiada ulasan: