Selasa, 26 Februari 2013

Suhaizan sifatkan MB Johor 'tertinggal keretapi'

Harakahdaily,  


 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bahawa 'orang Melayu Johor takutkan PAS' sebagai ketinggalan keretapi.
Katanya, kenyataan itu mungkin sesuai untuk 20 tahun dahulu kerana waktu itu rakyat Johor didoktrin dengan propaganda jahat media dan pemimpin Umno.

Ianya termasuk dakwaan kononnya PAS menolak pembangunan, jika PAS memerintah tiada jalan raya dan tiada bekalan elektrik, beras akan kehabisan stok dan susah dicari dan rakyat Malaysia akan kembali ke zaman Jepun makan ubi kayu.

"Kalau dikenang perkara ini memang menggelikan dan menyakitkan hati. Tapi itulah hakikatnya propaganda yang dimasukkan dalam minda rakyat waktu itu sehingga menakutkan orang Johor," katanya.

Dengan pendekatan yang digunakan oleh PAS termasuk turun ketengah-tengah masyarakat memberi perkhidmatan kepada mereka, rakyat Johor kini mula berubah dan tidak lagi menelan bulat-bulat propaganda Umno tersebut.

Selain itu katanya, perubahan politik di Kelantan dan Terengganu tahun 1990 dan 1999 telah banyak membantu membuka minda rakyat Johor bahawa PAS memiliki kekuatan sehingga boleh memerintah dua buah negeri.

Rata-rata rakyat Johor ujarnya telah berubah selepas tahun 2008 setelah Pakatan Rakyat (PR) menerajui Selangor apabila melihat Selangor lebih maju daripada Johor sekarang walaupun diperintah oleh PKR, PAS dan DAP.

"Hanya Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang tertinggal keretapi menyatakan orang Johor takut PAS. Yang takut pada PAS bukanlah rakyat Johor tetapi pemimpin Umno Johor sendiri.

"Mungkin Datuk Abdul Ghani Othman boleh merujuk kepada Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka(DBP) pada 19 Februari 2013 yang menjelaskan berkenaan perubahan dalam  PAS. Janggal benar bila ketua sebuah kerajaan tertinggal keretapi," kata Suhaizan.

Tiada ulasan: