Khamis, 28 Februari 2013

Penganalisis: Manifesto BN perlu komprehensif 'saingi' Pakatan

MALAYSIA CHRONICLE

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) perlu menawarkan manifesto yang lebih komprehensif daripada manifesto Pakatan Rakyat (PR) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan berkata, manifesto BN perlu memenuhi keperluan semua pihak untuk memikat pelbagai lapisan masyarakat bandar dan di luar bandar.

Beliau berpendapat banyak pihak menganggap manifesto PR, yang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan Isnin lalu, tidak realistik dan BN perlu mengambil peluang ini untuk membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan terbaik setakat ini dan bukan sekadar janji kosong.

"Golongan muda juga perlu diberikan perhatian dalam manifesto BN kerana sebahagian besar pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah mereka,” katanya.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, BN perlu membuat manifesto yang sepadan dengan tawaran dijanjikan PR.

Menurutnya, manifesto dilancarkan oleh BN pada 2008, tidak terperinci dalam isu beberapa bidang termasuk mengatasi masalah kemiskinan, memerangi jenayah dan meningkatkan efisien kakitangan awam.
Azizuddin berkata, manifesto PR baik tetapi tidak realistik kerana cuba melakukan perubahan kepada sistem politik dan ekonomi.

“Dalam masa sama, terdapat percanggahan. Mereka cuba hapuskan monopoli dengan perkenalkan dasar liberalisme ekonomi atau kapitalis mutlak,” katanya.

Menurutnya, rakyat akan melihat sektor terpenting iaitu ekonomi dan kemakmuran bagi lima tahun akan datang.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN pasti belajar daripada kesilapan manifesto 2008.

Menurutnya, manifesto kali ini perlu menjurus kepada kemampuan untuk menepati janji dan ia dilihat sebagai janji.-sinarharian.com

Tiada ulasan: