Khamis, 28 Februari 2013

Banjir di Kelantan, Terengganu tambah buruk, mangsa dipindah tambah

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Gelombang ketiga banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan semakin bertambah.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lapan jajahan terus bertambah pada sebelah petang ini iaitu 1,129 orang berbanding 1,036 orang pada sebelah pagi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jajahan Pasir Mas menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 325 orang diikuti Tanah Merah (306), Pasir Puteh (230), Kuala Krai (154), Bachok (61), Machang (25), Kota Baharu (24) dan Tumpat (empat).

Kesemuanya membabitkan 315 keluarga yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan seluruh negeri itu.

Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah masih terus berada pada paras bahaya walaupun dilaporkan mula surut secara perlahan.

Sehingga pukul 3.30 petang ini, paras air di Rantau Panjang itu berada pada paras 10.40 meter (bahaya 9 meter) dan Jambatan Guillemard 17.57 meter (bahaya 16 meter).

Tiada jalan utama yang ditutup pada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir pada hari ini.

Semalam, dua pelajar sekolah, masing-masing berusia 13 dan 15 tahun menjadi korban pertama banjir pusingan ketiga yang berlaku di Machang.

Cuaca pada sebelah petang ini mendung dengan sesekali hujan renyai.

Sementara itu Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Roslee Mamat mengingatkan penduduk terus berwaspada kerana musim tengkujuh dijangka berakhir bulan depan.

"Banjir pusingan ketiga ini keadaannya sedikit buruk apabila hujan yang melanda sejak empat hari lalu membabitkan keseluruhan jajahan di Kelantan," katanya.

Beliau berkata semua urusan pemindahan mangsa berjalan dengan sempurna walaupun berlaku sedikit masalah berkaitan urusan makanan di Kuala Krai.

"Alhamdulillah semua masalah kecil telah diatasi dan kita harapkan cuaca yang baik mulai hari ini akan mengubah keadaan banjir," katanya.

Roslee mengingatkan ibu bapa agar terus mengawasi anak-anak mereka bagi mengelak berlakunya lagi kemalangan jiwa seperti yang dilaporkan semalam.   

Di TERENGGANU, keadaan banjir di daerah Besut bertambah buruk apabila 3,156 mangsa dipindahkan sehingga pukul 4 petang ini berbanding 160 orang pagi tadi.

Menurut portal banjir negeri, daripada enam pusat pemindahan yang dibuka di daerah Besut pagi tadi kini telah meningkat kepada 42 buah petang ini.


Di daerah Setiu juga menunjukkan banjir bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 618 orang berbanding 132 pada pagi tadi.

Sepuluh pusat pemindahan dibuka di daerah Setiu berbanding lima pagi tadi.

Jumlah mangsa banjir dipindahkan di daerah Hulu Terengganu juga bertambah daripada 127 orang pagi tadi kepada 339 orang petang ini dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlahnya lima buah.

Bagaimanapun, menurut portal itu daerah Dungun pula beransur baik apabila sebuah pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Syukur ditutup.

Jumlah mangsa di daerah Dungun sekarang adalah 22 orang dan mereka ditempatkan di Dewan Kampung Pasir Raja.

Dalam pada itu, portal itu melaporkan paras air sungai Setiu, di Jambatan Permaisuri dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, masing-masing berada pada tahap amaran. - Bernama

Tiada ulasan: