Ahad, 30 Disember 2012

Lelaki maut ditembak di depan rumah

MOHD ISKANDAR OTHMAN

Lelaki maut ditembak di depan rumah
Anggota forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
 
GEORGETOWN - Seorang lelaki maut akibat ditembak ketika sedang berbual bersama  empat rakanya  di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, mangsa S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee dikatakan baru sahaja tiba di rumah salah seorang rakannya.

Menurutnya, ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari salah sebuah kereta berkenaan lalu menembak ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

"Melihat mangsa rebah, rakan mangsa bergegas membawanya ke sebuah hospital swasta berhampiran namun mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital.

“Pemeriksaan awal mendapati, mangsa mati akibat terkena tembakan di bahagian bahu kanan," katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rahim Hanafi dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh juga meninjau tempat kejadian.

Sementara itu, Kong Meng berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian berkenaan dan telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan dan menjejaki suspek.

Katanya, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: