Khamis, 29 November 2012

Musa dicabar dedah siapa sumbang wang RM40 juta

Musa dicabar dedah siapa sumbang wang RM40 juta

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR- Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mendedahkan siapa penyumbang wang RM40 juta kepadanya jika benar beliau bersih.

Beliau mendesak agar Musa memberitahu, apa hubungan penderma/penyumbang ini dengan beliau dan Umno?

Musa juga perlu menjelaskan, apa kontrak-kontrak atau konsesi yang pernah diberikan kepada penderma/penyumbang ini?

Di samping itu, Musa juga perlu dedahkan, di mana wang itu disimpan dan atas nama siapa?

Persoalan ini dibangkitkan Rafizi ketika berhujjah bahawa badan pencedah rasuah Hong Kong, ICAC belum membersihkan nama Musa.

Bagi beliau, surat badan pencegah rasuah Hong Kong (ICAC) tidak mahu meneruskan siasatan ke atas Ketua Menteri Sabah itu bukan bukti beliau telah bersih.

ICAC hanya tidak mempunyai cukup bukti kerana tidak mendapat kerjasama kerajaan Malaysia dan PKR akan membantu ICAC untuk mendapatkan bukti itu.

Rafizi Ramli berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan The Malaysian Insider bertajuk “ICAC Letter Shows Musa Aman Cleared of Graft Last December”.

Laporan itu memetik kenyataan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud bagi pihak Datuk Seri Musa Aman bahawa kes telah ditutup oleh ICAC Hong Kong berdasarkan satu surat yang dihantar secara peribadi kepada Dato’ Seri Musa Aman.

Berdasarkan laporan tersebut, Rafizi menegaskan beberapa fakta berikut:

1. Surat yang diutuskan oleh ICAC itu sekali-kali tidak menyatakan bahawa Dato’ Seri Musa Aman dibersihkan dari tuduhan rasuah, atau membayangkan bahawa ICAC yakin Dato’ Seri Musa Aman bersih dari rasuah seperti yang cuba diwar-warkan oleh Umno/Barisan Nasional.

2. Surat itu hanya memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat yang ICAC perolehi setakat itu, ICAC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.

"Jika Datuk Seri Musa Aman tidak bersetuju dengan fakta-fakta ini, maka wajarlah beliau mendedahkan kandungan keseluruhan surat tersebut, bukannya menggunakan Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk menyampaikan secara lisan sahaja kepada wartawan," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Bagi Rafizi, keputusan ICAC untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka perolehi setakat itu menimbulkan lebih banyak persoalan.

Ia juga menguatkan pandangan beberapa pihak bahawa ICAC tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia untuk meneruskan siasatan kerana mereka tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mengumpulkan bukti, katanya.

Oleh yang demikian, katanya lagi, mereka bergantung sepenuhnya kepada Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan bukti.

Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Hong Kong mengambil keputusan untuk menghentikan siasatan berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa tangan ICAC terikat dari meneruskan siasatan.

"Oleh yang demikian, saya menegaskan pendirian saya bahawa surat yang disebut oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan itu tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia," kata Rafizi.

Sehubungan itu, katanya, beliau dan pasukan dari PKR (William Leong, Hee Loy Sian dan Chang Lih Kang) sedang giat mengumpulkan bukti termasuk penyata-penyata kewangan dan urusniaga di Hong Kong untuk dilaporkan kepada ICAC agar siasatan baru dibuka, seperti persetujuan dengan ICAC baru-baru ini.

Rombongan mereka akan menemui ICAC pada 11 Disember 2012 dalam kunjungan yang kedua.

Rafizi juga menggesa Datuk Seri Musa Aman supaya tidak terus mengheret Umno ke dalam permasalahan peribadi beliau.

Cara terbaik untuk membersihkan nama beliau adalah dengan mengisytiharkan secara terperinci maklumat sumbangan RM40 juta yang diterima beliau.

"Saya percaya maklumat-maklumat di atas bukan sahaja dituntut oleh rakyat Malaysia, malah turut ditanya oleh pimpinan Umno sendiri," katanya.

Apabila Umno/Barisan Nasional menyerang pimpinan PKR bersabit sumbangan (termasuklah isu bas jelajah Merdeka Rakyat dan penggunaan jet peribadi), pimpinan PKR yang terbabit dengan segera mengisytiharkan butiran penyumbang, supaya rakyat dapat menilai sendiri sama ada berlaku unsur salah guna kuasa, katanya.

Sikap yang sama perlulah juga ditunjukkan oleh Datuk Seri Musa Aman, jika beliau benar-benar yakin tidak ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di dalam kes sumbangan RM40 juta kepada beliau/Umno seperti yang didakwanya.

"Kegagalan beliau berterus terang akan terus memanjangkan kes ini dan saya akan terus menumpukan perhatian untuk mendapatkan maklumat dan bukti baru untuk dibentangkan kepada rakyat.

"Sebab itu, saya tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ancaman tindakan undang-undang seperti yang disebut oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan. Saya yakin saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan bersedia untuk mempertahankan kes yang saya bawa di mahkamah pada bila-bila masa," katanya.

Persoalannya, kata Rafizi lagi, apakah Datuk Seri Musa Aman bersedia untuk bertemu di mahkamah dan mendedahkan butiran penderma-penderma beliau di mahkamah seperti mana bersedianya beliau?
-Harakahdaily

Tiada ulasan: