Selasa, 28 Ogos 2012

Wanita Umno mahu rampas Kuantan dari PKR

ROSILAWATI ROSEDI

Datuk Maznah Mazlan
Datuk Maznah Mazlan.
 
KUANTAN - Ahli Wanita Umno di negeri ini diseru menunjukkan kesetiaan dan memberikan sokongan padu terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan dalam memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Exco Wanita Umno, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, segala keputusan yang telah ditetapkan pucuk pimpinan negeri dan pusat hendaklah diterima dengan tangan terbuka.

Beliau juga juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, Wanita Umno secara lazimnya tidak mendesak untuk menjadi calon walaupun diakui berkemampuan dalam memimpin.

“Jentera Wanita sentiasa bersedia menerima arahan namun beberapa aspek yang perlu diperbaiki dalam meraih undi sekali gus merampas kembali Parlimen Kuantan daripada pihak pembangkang.

“Pada PRU12 lalu, sebanyak 11,470 undi rosak. Jumlah ini angka besar, dan ia juga menjadi tanggungjawab jentera untuk memastikan situasi ini tak berulang pada PRU 13,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kuantan kali ke-12 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Zaitun Mat yang disertai 220 perwakilan daripada bahagian tersebut.

Beliau juga mengingatkan ahli supaya tidak tenggelam kerana perbezaan dan bersikap individualistik kerana ia boleh menjadi kudis sebaliknya sehati sejiwa dan menyingkirkan elemen negatif supaya parti tidak menjadi lemah.

Maznah juga menggesa supaya ahli tidak berdiam diri dengan sebarang isu yang timbul dengan mendapatkan fakta serta maklumat daripada pemimpin untuk menangkis hujah daripada pihak pembangkang.

Tiada ulasan: