Selasa, 28 Ogos 2012

Tiada 'lampu hijau' polis, tapi Janji Bersih anjur Ambang Merdeka

SINAR HARIAN

Maria Chin
Maria Chin
 
KUALA LUMPUR - Pihak polis tidak memberi sebarang 'lampu hijau' diberikan kepada penganjur Himpunan Janji Bersih yang akan diadakan pada 30 Ogos ini, tetapi penganjur akan mengadakan sambutan Ambang Merdeka menggunakan tema "Janji Demokrasi".

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dipetik Bernama berkata, tiada sebarang kebenaran diberikan oleh pihak polis kepada penganjur kerana Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2011 mensyaratkan penganjur memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan kepada polis, namun perkara itu gagal dilakukan oleh penganjur.

"Kalau menurut akta tersebut, penganjur telah melakukan kesalahan kerana tidak memberikan notis kepada kita...jadi dari pihak polis tiada sebarang kebenaran akan diberikan.

Cuma mereka berjanji kepada kita bahawa perhimpunan itu akan dilakukan secara aman," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, pada perhimpunan tersebut polis bersetuju memberikan kerjasama daripada segi kawalan trafik dan keselamatan sebagai langkah awal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan sebarang kekecohan.

Menurutnya, perbincangan selama satu jam antara polis dan wakil penganjur di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini bertujuan menerangkan kepada penganjur berhubung syarat-syarat yang perlu dipersetujui sekiranya ingin menganjurkan perhimpunan tersebut seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Mereka (penganjur) memberitahu polis akan menganjurkan perhimpunan itu secara aman dan bersetuju akan mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman seperti tidak akan mengadakan ceramah, ucapan,  pemasangan kain rentang (banner) atau membawanya semasa perhimpunan.

"Jadi kita berjumpa hari ini untuk mendengar apa yang mereka inginkan selain kita turut menerangkan kepada mereka peraturan yang perlu mereka patuhi sekiranya ingin mengadakan perhimpunan tersebut," katanya.

Katanya, polis turut menasihatkan penganjur agar dapat mengawal segala kelakuan peserta perhimpunan itu daripada bertindak liar serta menimbulkan kekecohan.

"Polis akan bertindak menahan peserta perhimpunan sekiranya mereka (peserta) melanggar akta yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, penganjur perhimpunan Maria Chin Abdullah ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah berkata, pihaknya akan mengadakan dua sambutan kemerdekaan di dua lokasi berbeza dengan cara yang berlainan.

Beliau berkata, pihaknya telah bersetuju akan mengadakan perhimpunan di Jalan Sultan dan di Dataran Merdeka seawal pukul 10 malam dan akan bersurai selepas pukul 12 tengah malam.

"Kita telah bersetuju dengan pihak polis, tiada banner, sebarang sticker (pelekat), atau ucapan pada perhimpunan malam itu, cuma Pak Samad (A. Samad Said) akan menyampaikan puisi sahaja.

Kita berjanji perhimpunan itu akan diadakan dalam keadaan harmoni dan aman," katanya.

Katanya, pihak polis memang tidak memberikan kebenaran kepada pihaknya mengadakan sambutan Ambang Merdeka.

"Tetapi kami memberitahu polis bahawa kami cuba mengadakan sambutan menjelang detik 12 tengah malam, dan memberitahu polis bahawa tidak perlu ada kebenaran... sebab itu adalah hari sempena kemerdekaan... ini bukan perhimpunan, satu majlis sahaja," kata beliau lagi.

Ketika dihubungi sekitar 8 malam ini, Maria Chia berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan esok untuk menentukan langkah susulan ekoran laporan media bahawa pihak polis tidak beri 'lampu hijau'.

Maria Chin juga berkata, polis juga memaklumkan pihaknya dalam pertemuan hari ini bahawa tiada sambutan mengira detik menjelang 12 tengah malam.

"Ini maklumat baru yang kami terima hari ini. Jika betul tidak ada, kami harap pihak polis akan membuat hebahan menerusi media," katanya lagi.

Tiada ulasan: