Khamis, 30 Ogos 2012

Tiada bukti tahanan ISA bersalah dikatakan insaf?

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan kerana mereka telah pulih dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, kenyataan itu tidak masuk akal kerana tahanan tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Bagaimana menteri boleh mengatakan tahanan telah insaf sedangkan kesalahan mereka tidak pernah dibuktikan dan mereka tidak pernah diberi peluang untuk membela diri.

"Ironinya kenyataan menteri itu seolah-olah mengambarkan orang yang tidak bersalah tetapi telah insaf daripada kesalahan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seramai 12 orang yang dibebaskan itu terdiri daripada tujuh warga tempatan, tiga Indonesia dan dua Pakistan.

Manakala tahanan masih berbaki seramai 30 orang iaitu 12 warga tempatan, Indonesia (tiga), Sri Lanka (enam), Pakistan (satu), India (dua), Bangladesh (satu), Iraq (dua) dan Filipina (tiga).

Justeru GMI menggesa Menteri Dalam Negeri mendedahkan  secara terperinci proses pemulihan yang dilalui oleh tahanan semasa kem tahanan dan menjelaskan sama ada penyeksaan dalam tahanan juga merupakan proses pemulihan yang terpaksa dilalui tahanan.

"Menteri Dalam Negeri juga mesti mendedahkan laporan keselamatan yang dijadikan penilaian untuk menentukan samada tahanan boleh dibebaskan atau tidak seterusnya membebaskan kesemua baki tahanan," katanya.

Syed Ibrahim juga yakin pembebasan itu hasil perjuangan berterusan GMI dan rakyat Malaysia dan turut disokong oleh tindakan nekad tahanan ISA yang telah melancarkan mogok lapar.

Tiada ulasan: