Khamis, 30 Ogos 2012

Selangor beri 4 syarikat konsesi air tawaran baru

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
 
SHAH ALAM –  Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan tawaran baru berhubung langkah menstruktur semula bekalan air kepada empat syarikat sedia ada minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tawaran itu dikemukakan selepas beliau menerima surat daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang bersetuju dengan Kerajaan Negeri agar beberapa usaha dapat diambil supaya industri air di Selangor dapat disusun kembali secara holistik.

Awal bulan lalu, Kerajaan Negeri  Selangor mengumumkan akan membentangkan cadangan dan juga kertas kerja berhubung perkara itu.

“Proses ini telah kita sediakan dan saya akan umumkan tawaran tersebut kepada empat syarikat yang mempunyai operasi air di negeri ini iaitu Syabas, Splash, Abbas dan Puncak Niaga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri (MMKN) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung penstrukturan semula air di negeri ini.
Sebelum ini keempat-empat syarikat konsesi air itu ditawarkan RM95.bilion bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat pengstrukturan semula industri air namun ia ditolak oleh Syabas dan Puncak Niaga.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menolak kenyataan dibuat Peter Chin bahawa jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap, ia tidak menyebabkan tarif air naik sehingga 70 peratus kerana tiada perkara percuma.

“Untuk bina loji tersebut ia memerlukan dana dan dana itu mesti juga dibayar sama ada melalui cukai atau kos tarif yang akan disalurkan pembayaran tersebut.

“Tiada satu perkara percuma kerana sekiranya ada geran diberi kepada Selangor ia adalah hasil kutipan cukai rakyat dan dibayar dari awal. Ia menunjukkan beliau kurang faham tentang belanjawan negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan usaha untuk melaksanakan undang-undang anti lompat parti seperti dicadangkan oleh Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara tersebut dibincangkan oleh pucuk pimpinan PR.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut bukan isu sebenar kerana apa yang lebih penting PR belajar daripada pengalaman lalu dalam memilih calon mewakili parti.

“Kita kena buat pemilihan betul-betul dan pilih mereka yang benar-benar bersedia mewakili parti,” katanya.

Tiada ulasan: