Rabu, 29 Ogos 2012

Samad: Saya pernah undi, akan undi PRU13

JAMILAH HAMZAH

samad said

KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mengaku beliau pernah mengundi dalam pilihan raya umum dan akan berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sasterawan Negara ini berkata, sebelum ini ramai yang mempersoalkan statusnya sama ada pernah mendaftar sebagai pengundi ataupun sebaliknya, tetapi tidak memberi sebarang ulasan bagi memberi ruang kepada pihak terlibat memeriksa statusnya.

“Ya, saya sudah daftar sebagai pengundi. Sebelum ini saya sengaja tak jawab kerana mahu pihak yang meragui itu buat semakan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad berkatam beliau akan menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi pada PRU13.

"Sudah tentu saya akan turut serta mengundi seperti yang saya perjuangkan dalam Bersih. Tidak ada sebab saya tidak turun mengundi,” katanya yang dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0 selepas perhimpunan tahun lalu.

Samad menjadi sasaran beberapa pihak tentang statusnya sejak menyertai perhimpunan Bersih Julai 2011 dan menjadi 'ikon politik' generasi muda.

Bersih 2.0 menuntut sistem pilihan raya bebas dan adil, antara lain berkenaan dengan daftar pemilih dan pendaftaran pengundi termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Tiada ulasan: