Selasa, 28 Ogos 2012

Polis benar Himpunan Hijau Raub 2 Sept tapi bersyarat

WAN JUHAIDA WAN HASSAN

Ahli Puteri Umno Bahagian Raub
Ahli Puteri Umno Bahagian Raub membuat laporan polis membantah penganjuran Himpunan Hijau, semalam.
 
BANDAR RAUB – Polis membenarkan Himpunan Hijau Raub yang dijadualkan di sini diadakan pada 2 September depan, namun sebanyak 16 syarat ditetapkan untuk dipatuhi penganjur.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, semua syarat itu bertujuan mencegah kekacauan yang boleh menjejaskan keamanan masyarakat serta mengelak kerosakan harta benda.

"Penganjur juga bertanggungjawab untuk memastikan keadaan persekitaran yang bersih sebelum dan selepas perhimpunan," katanya pada sidang media selepas bertemu dengan penganjur himpunan itu di sini semalam.

Sinar Harian diberitahu, penganjur  bersetuju dengan semua 16 syarat yang dikenakan.

Antara syarat itu, kata Wan Mohd Samsudin ialah semua kenderaan yang digunakan peserta himpunan perlu diletakkan di luar kawasan bandar ini.

Katanya, polis akan memastikan semua peserta mengikut peraturan ditetapkan tanpa mengakibatkan sebarang kesesakan lalu lintas.

“Umum mengetahui keadaan trafik di bandar Raub sedikit sesak ketika hujung minggu kerana menjadi laluan utama pengguna jalan raya antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Bagi memastikan kelancaran trafik, kita akan aturkan pemantauan supaya kenderaan peserta Himpunan Hijau Raub diletakkan di luar lingkungan bandar,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan seperti bas yang digunakan peserta program juga perlu diletakkan di luar kawasan bandar.

Himpunan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu, kata Wan Mohd Samsudin hanya alam kawasan dibenarkan sahaja dan penganjur tidak boleh berarak menuju ke kawasan perlombongan emas  di Bukit Koman.

Menurutnya, berikutan kehendak penganjur yang ingin menyampaikan memorandum kepada pengurusan lombong emas berkenaan, ia akan diuruskan pihak polis sebaik mungkin tanpa perlu keluar dari kawasan himpunan.

“Penganjur seharusnya mematuhi peraturan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu berhimpun secara aman tanpa sebarang perlakuan yang melanggar sebarang undang-undang negara.

“Program ini adalah kali pertama berlaku di daerah ini dan polis sebaik mungkin akan memastikan keselamatan serta keamanan berada pada tahap optimum dengan mengambil kira keperluan semua pihak,” katanya.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika penganjur atau peserta melanggar peraturan.

Dalam pada itu kata Wan Mohd Samsudin, terdapat 53 bantahan dikemukakan kepada polis berkaitan Himpunan Hijau, termasuk dua secara bertulis dan selebihnya menerusi borang yang disediakan sepanjang tempoh 48 jam daripada notis makluman diedarkan.

Menurutnya, 14 borang maklum balas lain menyatakan persetujuan perhimpunan itu diadakan.

Wan Mohd Samsudin berkata, setiap maklum balas diambil kira termasuk bantahan terhadap aktiviti itu dan penilaian terperinci dilakukan bagi memastikan tahap kebimbangan masyarakat setempat.

Tiada ulasan: