Khamis, 30 Ogos 2012

Penduduk Pengerang fail semakan kehakiman untuk batal projek Rapid

Oleh Sidiqin Omar

PENGERANG : Seramai 26 penduduk Pengerang yang terlibat dengan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid) memfail semakan kehakiman terhadap kerajaan Johor dan pentadbir tanah Kota Tinggi jam 2 petang tadi.

Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Hasan Karim memaklumkan, semakan kehakiman dibuat di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi membatalkan perintah serahan tanah untuk meneruskan projek tersebut.

“Dari segi fakta, ia berkaitan dengan Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak untuk memiliki harta,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

“Tidak ada sesiapa yang berhak untuk merampas atau mengambil harta, seperti tanah tanpa persetujuan pemiliknya,” kata peguam kepada penduduk terbabit itu.

Menurut Hasan, semua penduduk tersebut telah menerima borang E Seksyen 10 Akta Pembangunan Tanah 1960, iaitu prosedur terakhir sebelum sesi runding bicara nilai pampasan tanah.

Sementara itu, Ketua Biro Guaman KEADILAN Johor, Jimmy Puah berkata, ini adalah kes pertama di Malaysia apabila penduduk mempersoalkan definisi dan kaedah pembangunan.

“Pembangunan bukan hanya material. Pembangunan perlu ambil kira impak sosial, budaya, ekonomi dan alam sekitar. Hal ini tak pernah ditanya. Ini kali pertama,” jelas Jimmy, yang juga salah seorang peguam.

Pihaknya akan mendapatkan sijil perakuan segera sebagai injunksi sementara bagi menangguhkan keputusan kerajaan Johor dan pentadbir tanah Kota Tinggi. Penduduk turut diwakili peguam John Fernandez dan Chia Kwok Wei.

Tambah Jimmy, pendengaran semakin kehakiman untuk membatalkan keputusan kerajaan Johor berhubung pengalihan tapak perkuburan bukan Islam pula akan didengar di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 25 September depan.

Empat pemohon tersebut ialah Chong Chun Yet, Hong Thian Hwa, Chong Ah Sin dan Lim Kui Hak.

Tiada ulasan: