Khamis, 30 Ogos 2012

M Saravanan nafi lepas Parlimen Tapah

Wartawan Sinar Harian

 M Saravanan
Datuk M Saravanan 
 
IPOH - Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan menafikan dakwaan bahawa beliau bakal melepaskan Parlimen Tapah dan bertanding di kawasan Parlimen lain pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata, sehingga ke hari ini dirinya masih lagi kekal sebagai Ahli Parlimen Tapah dan mungkin akan terus kekal di kawasan berkenaan selepas PRU13.

Bagaimanapun katanya, segala keputusan berhubung perkara berkenaan adalah tertakluk kepada keputusan yang telah ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, khususnya dalam menentukan kawasan untuk dirinya.

“Setakat ini tiada sebarang keputusan  mengenai perkara itu dan saya masih lagi di Parlimen Tapah.

“Bagaimanapun, semuanya terserah kepada pucuk pimpinan parti. Walau di mana mereka mahu saya bertanding, itu terpulanglah kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, katanya, MIC Perak kini dalam proses  mendekati serta mengenal pasti golongan pengundi dalam kalangan masyarakat India yang bukan ahli MIC.

Menurutnya, proses berkenaan dibuat demi memastikan Barisan Nasional (BN) akan dapat terus mendapat sokongan daripada masyarakat India bagi menghadapi PRU yang dijangka tidak lama lagi.

“Di peringkat negeri, kita telah arahkan semua pemimpin khususnya di setiap cawangan bagi mengenal pasti para pengundi yang bukan ahli MIC.

“Saya percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri malah peratus sokongan kaum India juga telah berubah berbanding dahulu. Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan butiran mengenai peratus sokongan tersebut, tetapi secara rasminya saya percaya ianya (sokongan) itu telah meningkat.

“Dulu mereka pilih pembangkang bukan sebab mereka sayang tetapi sebab ego beberapa pemimpin kerajaan. Sekarang mereka sedar pembangkang beri janji kosong dan tidak menyumbang apa-apa, khususnya kepada masyarakat India di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: