Selasa, 31 Julai 2012

Populariti PM macam pasaran saham

MALAYSIA CHRONICLE


Tinjauan populariti Perdana Menteri Najib Razak oleh Merdeka Center bulan Jun lalu naik sikit dibandingkan bulan Mei. Pada keseluruhannya popularitinya jauh mengatasi Anwar Ibrahim.

Populariti di kalangan Melayu dan India turun sikit tapi masih di atas 50 peratus. Yang mungkin menyenangkannya sokongan orang Cina naik sikit tapi masih sekitar 40 peratus saja.

Apapun tinjauan pendapat adalah seperti pasaran saham, ada turun naiknya. Hari ini naik, esok ia boleh turun. Dua bulan dulu ia merudum, bulan ini melunjak. Jika ada agensi lain membuat tinjauan, lain pula penemuannya.

Tinjauan pendapat di mana-mana pun, boleh diambil sebagai satu panduan bagi mengukur sesuatu keadaan tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran muktamat. Kadang-kadang kita boleh ditipu oleh penemuan itu.

Contoh terbaik tinjauan pendapat yang popular di Britian tahun 1970 mendapati kerajaan Perdana Menteri Edward Heath dari Parti Konservatif punya harapan cerah memenangi semula pilihan raya sekitar Mei dan Jun. Bukan satu tinjauan kata begitu. Ia penemuan kebanyakan agensi tinjauan.

Masyarakat barat memangnya prihatin dengan tinjauan seperti itu. Ia pun memanggil pilihanraya umum mengejut walaupun tempoh penggalnya masih ada hampir setahun lagi. Kerajaan Edward Heath kalah pilihanraya itu.

Ada tinjauan pendapat yang tepat tetapi ambillah sebagai penyedap hati seperti kata peri bahasa Melayu, harap ada percaya tidak. Boleh terima tetapi jangan percaya sangat.

Apapun tinjauan Merdeka Center itu adalah atas Najib sebagai Perdana Menteri. Kata Dr Ong Kian Ming dari Fakulti Ekonomi dan Sains Polisi UCSI, tinjauan tidak pula dibuat terhadap BN. Jika tinjauan tentang populariti BN dan Pakatan Rakyat mungkin lain pula.

Dan seperti komen Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, tinjauan itu adalah atas peluang Najib menang pilihan raya, tinjauan tidak dibuat atas isu-isu yang berbangkit tentang persiapan pilihanraya oleh SPR.

Kalau tinjauan dibuat tentang Bersih 3.0 mungkin popularity BN dan PR berbeza.

Apa yang memungkin angka Najib naik dalam beberapa bulan ini ialah dia memberi tayar percuma kepada semua pemandu teksi, dia beri BRIM, dia beri cermin mata percuma kepada warga emas. Dan mungkin juga dia tidak banyak diikuti oleh isterinya ke mana-mana.

Kata penyokongnya di Pekan, kalau PM balik ke Pekan sendiri masih ramai orang menyambutnya, tapi kalau isterinya ikut, hampir separuh kurang penyambutnya.

Elok juga dibuat tinjauan tentang penerimaan orang Pekan kepadanya sekarang. Berapa peratus yang menyokongnya jika isterinya duduk diam di rumah seperti bondanya di zaman ayahndanya jadi PM? Betapa pula sambuntannya apabila isterinya sama menonjol sepertinya.

Kita jangan buat ukuran ketika Perdana Menteri berjumpa orang India. Tentulah dalam majlis dengan orang India, 100 yang hadir orang India. Dan bila dia berjumpa orang Cina pula, tentulah yang menyambutnya semua orang Cina. Jika kita buat tinjauan pada masa itu maka penemuannya bukan 37 atau 40 peratus Cina dan India menyokongnya, tetapi 100 peratus.

Penemuan yang diumumkan sekarang adalah terhadap batang tubuh Datuk Najib. Tidak diragu dia akan menang di mana-mana kawasan Melayu yang ditandinginya kecuali di Permatang Pauh.

Tetapi calon BN yang lain belum ada jaminan. Popularitinya tidak menjamin kemenangan calon BN.

Itulah sebabnya dia BN bersetuju dengannya untuk meletakkan calon boleh menang. Ong Kee Tiat sudah tidak ada apa-apa dalam MCA. Dia mungkin dikekalkan sebagai calon kerana dia mungkin menang. Dr Soi Lek adalah Presiden MCA, tetapi dia belum dijamin menang.

Populariti Najib tidak menjamin BN menang di Kepala Batas dan Gua Musang kalau calonnya selain dari Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Apapun penemuan Merdeka Center itu boleh menyedapkan hati penyokong Umno, Najib masih belum sedap. Dan bagi Pakatan pula ia mendorongnya bekerja lebih kuat. Merdeka Center mesti selepas ini mengeluarkan pula tinjauan bulan Julai, Ogos dan seterusnya hingga minggu kempen terakhir PRU 13 dengan isu yang berbagai seperti rasuah, pengundi asing dan lain-lain.-The Malaysian Insider

Tiada ulasan: