Rabu, 27 Jun 2012

Pegawai polis maut, kereta rempuh belakang lori


SINAR HARIAN
 
KUANTAN - Seorang pegawai polis maut selepas kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler membawa muatan bijih besi di Km 197 Lebuhraya Pantai Timur dekat Sri Jaya, di sini awal pagi tadi.

Insp Muhammad Azman Arifin, 48 dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan yang juga pegawai pendakwa, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata dalam kejadian 1.20 pagi itu, Muhammad Azman dalam perjalanan balik ke Kuantan dari Kuala Lumpur.

"Dipercayai ketika sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar bahagian kanan belakang lori itu menyebabkan kenderaannya berpusing ke kanan jalan.

"Akibat itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat," katanya di sini.

Beliau berkata bapa kepada empat anak itu sedang melanjutkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan undang-undang.

"Difahamkan mangsa sering berulang-alik dari Kuantan ke UiTM Shah Alam bagi menghadiri kuliahnya," katanya.

Mohd Jasmani berkata jenazah mangsa akan dikebumi di Sungai Karang di sini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: