Khamis, 28 Jun 2012

Guan Eng belum sedia pindah ke Putrajaya

NOOR AZURA SAHRIL

Guan Eng belum sedia pindah ke Putrajaya
Lim Guan Eng ketika ditemui pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam. 
 
 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau lebih suka kekal di Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau lebih suka kekal di Pulau Pinang berbanding pindah ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.

"Saya masih ada banyak kerja mahu buat di Pulau Pinang. Yang saya sendiri rancang pun banyak belum selesai lagi," kata beliau dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian dan Sinar Harian Online, semalam.

Pemimpin berusia 52 tahun ini ditanya sama ada akan berhijrah ke pusat untuk menyandang jawatan menteri kanan jika PR menang PRU13.

“Apa pun keputusan ia bergantung kepada parti," katanya sambil menekankan bahawa menegaskan, matlamat akhirnya ialah "mahu menjadikan Pulau Pinang negeri yang selamat, bersih persekitaran, kekal dengan kehijauan dan bersih daripada gejala rasuah."

Beliau merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang keempat.

Guan Eng menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas tiga parti dalam PR iaitu Pas, DAP dan PKR memperoleh kemenangan pada PRU12 empat tahun lalu.

Kepada satu pertanyaan, Guan Eng berkata, beliau sendiri belum pasti sama ada akan kekal bertanding dua kerusi, Parlimen dan negeri atau hanya salah satu pada PRU13.

Guan Eng merupakan antara beberapa pemimpin DAP bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dun.

Beliau kali pertama dipilih sebagai ahli Parlimen pada 1986.

Ditanya mengenai pencapaiannya setakat ini selaku Ketua Menteri, Guan Eng menjelaskan, setelah empat tahun mentadbir Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan hutang sebanyak 95 peratus daripada RM630 juta kepada RM30 juta sahaja.

“Kami telah buktikan dengan kepimpinan yang bersih rasuah, hutang dapat dikurangkan dan ini merupakan rekod pengurangan hutang yang tidak pernah dilihat dalam sejarah negara,” katanya.

Beliau berkata, buktinya Pulau Pinang mendapat pujian oleh Transparensi Antarabangsa sebagai negeri pertama di negara ini yang bebas rasuah.

“Pulau Pinang juga berjaya menarik pelaburan antarabangsa dan diiktiraf sebagai bandar raya yang selamat. Kerajaan Negeri juga berjaya membasmi kemiskinan tegar,” katanya.

Tiada ulasan: