Rabu, 27 Jun 2012

Faekah : Geran Selangorku Diurus Telus





SHAH ALAM : Kerajaan Selangor tidak pernah berselindung berkenaan punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Belanjawan 2012 tahun lepas menyatakan geran ini berasaskan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Ia juga diperolehi daripada keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula projek Canal City.

“Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni BN, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Faekah berkata, Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh Adun, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.

“Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah,” katanya.

Sehingga kini menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN di bawah BN.

“Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI.

“Md Zin atau mana-mana ahli Umno yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan,” katanya.

Justeru tegas Faekah, beliau mencabar Ahli Parlimen dan Adun BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor.

“Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, di mana dan berapa kos sebenar,” ujar Faekah.

Tiada ulasan: