Selasa, 29 Mei 2012

Peneroka Hanya Pemilik 2.5% Dalam Saham FGVH





SHAH ALAM : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menarik semula peruntukan Tawaran Permulaan Awam (IPO) saham Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) yang diberikan kepada pelabur Bumiputera kerana didakwa melebihi keuntungan peneroka.

Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen berkata, berdasarkan analisa 2.2 bilion saham FGVH yang akan dijual, 420 juta saham (11.5% daripada FGVH) diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala peneroka Felda hanya menerima 91 juta saham, iaitu 2.5% daripada penyenaraian FGVH.

Sementara, dua peratus (73 juta saham) daripadanya akan diperuntukkan kepada awam, 41 peratus (1.5 bilion saham) diagihkan kepada pelabur institusi seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan Louis Dreyfus dan 109 juta saham (3% daripada FGVH) kepada pekerja Felda.

“Matlamat Felda ditubuhkan adalah untuk membantu Bumiputera miskin yang tiada tanah. Najib mengumumkan bahawa IPO FGVH ini adalah satu tindakan bijak yang akan memberi manfaat besar kepada peneroka. Tetapi cara saham diperuntukkan jelas menunjukkan bahawa Najib lebih berminat membantu golongan kaya.

“Kami menuntut MITI mengeluarkan senarai lengkap pelabur Bumiputera kaya yang akan menerima saham FGVH ini. Kami menuntut senarai ini kerana peneroka mempunyai hak untuk tahu mengapa golongan Bumiputera yang kaya ini berhak berlipat kali ganda lebih saham daripada mereka.,” ujarnya.

Katanya, peruntukan saham itu juga menimbulkan persoalan mengapa 112,635 peneroka mendapat saham kurang daripada 3,835 pekerja Felda.

Jelasnya, setiap peneroka hanya akan mendapat 810 saham seorang manakala kakitangan Felda akan mendapat 28,368 saham seorang. Secara purata, seorang pekerja Felda ditawarkan 35 kali ganda saham daripada seorang peneroka.

“Oleh kerana IPO ini adalah isu kepentingan nasional, kami percaya bahawa orang ramai juga berhak nak tahu sama ada mana-mana pelabur Bumiputera yang kaya ini ada atau tidak kaitan dengan Umno-BN,” ujarnya.

Tiada ulasan: