Selasa, 29 Mei 2012

Lelaki rentung, ibunya cedera dalam kebakaran

SINAR HARIAN

IPOH - Seorang lelaki rentung manakala ibunya cedera apabila rumah dua tingkat yang mereka duduki musnah dalam kebakaran di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, awal hari ini.

Mayat lelaki keturunan siam yang dikenali sebagai Songkran a/l Cheong Sim, 26, ditemui di ruang tamu tingkat bawah rumah itu, manakala ibu lelaki berkenaan Cheong Meng Chee, 50-an cedera di kaki dan badan.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu DSP Anuar Omar berkata mayat lelaki itu ditemui selepas pasukan bomba dan penyelamat selesai memadamkan kebakaran.

Mayatnya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat manakala ibunya dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kebakaran pada pukul 5.57 pagi itu disedari oleh ibu lelaki berkenaan tetapi dia gagal menyelamatkan anaknya itu kerana api marak dengan cepat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dihubungi berkata bomba mengambil masa satu jam untuk memadam kebakaran.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.- Bernama

Tiada ulasan: