Isnin, 28 Mei 2012

Cerita Politik: Apa pula kata ibu, ayah?

SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Tidak dapat dinafikan, anak-anak yang bijak bercakap politik sebenarnya dipengaruhi cara didikan di rumah.

Salwa Said, 35, percaya anakanak perlu tahu apa yang sedang berlaku dalam negara.

“Sebagai ibu, saya dedahkan hal berlaku dalam negara kepada anak-anak. Mereka perlu kenal pemimpin negara tidak kira pembangkang atau tidak sebab saya percaya, cara begini dapat memupuk semangat sayangkan negara dalam diri anak bila dewasa.

Katanya, dia tidak pernah menolak memberi penerangan kepada anak-anak mengenai hal politik kerana kanak-kanak memang perlu ambil tahu dan perlu tahu.

“Kalau anak saya yang berusia lapan tahun bertanya hal politik, contohnya kenapa pemimpin itu tidak kawan dengan pemimpin ini, saya terangkan secara am,” kata eksekutif pentadbiran itu.

Cara didikan berbeza digunakan Muhaini Mustafa, 43, yang bertugas di syarikat swasta.

“Saya dan suami tidak bercakap secara terbuka hal politik dalam negara depan anak-anak, tapi kalau mereka bertanya, saya terangkan untuk pengetahuan.

“Kami tidak akan tanamkan dalam jiwa anak-anak supaya sukakan pemimpin itu dan bencikan pemimpin ini, sebab ia akan hanya membentuk sifat negatif dalam jiwa anak,” katanya.
Menurut Muhaini, anak-anak ada hak untuk tahu apa berlaku dalam negara dan mereka boleh membuat pilihan (parti politik) sendiri apabila telah layak.

Suri rumah, Susisafrianti, 37, pula tidak membenarkan anaknya yang berumur sembilan tahun terlalu fokus kepada politik kerana usia yang masih mentah untuk memahami dunia politik.

“Tunggulah dia besar sikit. Sekarang ni pun, kalau ada gambar- gambar tak elok ditayang di akhbar atau televisyen, memang saya tak bagi dia tengok,” katanya. Susisafrianti berkata, anak-anak perlu diberikan ruang untuk membuat pilihan sendiri mengenai politik kerana pada usia muda, mereka hanya akan menuruti apa yang disuruh ibu bapa.

Lain pula bagi Mohd Ikram Md Nazir, 53, yang tidak mendedahkan anak kepada politik kerana dia sendiri tidak berapa minat dengan dunia politik.

“Saya sendiri pun tak ambil tahu sangat hal politik, jadi saya tak bercerita pasal politik dengan anak-anak,” katanya.

Ditanya sama ada dia membenarkan anaknya menyertai politik, Mohd Ikram berkata, dia tidak akan menghalang jika itu menjadi pilihan anak-anaknya.

Tiada ulasan: