Sabtu, 28 April 2012

BERSIH 3.0: DAP tegur Tunku Aziz

Roketkini




KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegur secara rasmi Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz yang telah membuat kenyataan peribadi yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung perhimpunan aman BERSIH 3.0.

“Saya terpaksa menegur Tunku Aziz secara tegas dan terbuka, untuk kenyataan tidak bertanggungjawab beliau yang menentang hak Bersih untuk berhimpun secara aman di Dataran Merdeka pada jam 2 petang 28 April 2012 demi menuntut pilihanraya yang adil, bersih dan telus,” katanya.

Menurut beliau, pendirian Tunku Aziz tidak disokong oleh mana-mana ahli jawatankuasa pusat DAP dalam pandangan beliau terhadap aksi duduk-dan-bantah tersebut.

Ujarnya, Tunku Aziz juga tidak memaklumkan kepimpinan parti bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan peribadi itu secara terbuka.

Dengan berbuat demikian, jelasnya, Tunku telah bertindak bercanggahan dengan prinsip kolektif parti DAP, di mana sungguh pun ada ruang untuk tidak bersetuju, pimpinan mestilah bersetuju dengan keputusan majoriti pimpinan parti.

“Saya telah menyampaikan kepada Tunku Aziz teguran rasmi dari parti dan rasa tidak senang hampir kesemua ahli DAP terhadap kenyataan terbuka pendapat peribadi beliau terhadap aksi duduk dan bantah Bersih,” ujar beliau lagi.

Semalam Senator Tunku Aziz dilaporkan oleh media bahawa beliau tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan yang dikatakannya boleh menyebabkan ramai orang melanggar undang-undang.

Namun, beberapa jam kemudian, Tunku mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau menyokong pendirian DAP untuk pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

“Saya mendukung dan menyokong sepenuhnya pendirian DAP seperti yang dijelaskan oleh saudara Lim Guan Eng untuk menyokong tuntutan Bersih demi pilihan raya yang bersih, bebas dan adil serta hak untuk berhimpun dengan aman,” ujar Tunku Aziz semalam.

Guan Eng menekankan bahawa DAP menyokong penuh protes duduk-dan bantah BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka dan akan menggerakkan ahlinya untuk menyertai perhimpunan aman tersebut yang akan tetap berlangsung esok 28 bermula jam 2 petang.

“Disebabkan salah guna kuasa pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang mempunyai kecenderungan politik, dan di mana pegawai tertingginya juga merupakan ahli UMNO, maka DAP menyokong penuh protes duduk dan bantah BERSIH 3.0.” ujar beliau. – Roketkini

Tiada ulasan: