Jumaat, 30 Mac 2012

Tidak selesai, kita jumpa di Rio - anti Lynas

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Sebuah NGO yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng bercadang untuk berdepan dengan Perdana Menteri di sidang Earth Summit 2012 di Rio de Janeiro jika ia tidak diselesaikan.

"Kami akan berdepan dengan Najib di Rio de Janeiro) jika ia tidak diselesaikan menjelang 20 Jun ini," kata Zulkefly Mohamad Omar (gambar), Pengerusi Green Clean World yang memperjuangkan penutupan kilang Lynas di Gebeng.

Earth Summit 2012 akan diadakan di Rio De Janeiro, Brazil 20 - 22 Jun 2012 ini.

Menjadi amalan biasa, NGO dari seluruh dunia yang memperjuangkan alam sekitar akan berhimpun menjelang perhimpunan di kalangan ketua-ketua kerajaan.

Bruno Masel pernah berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika beliau menjadi Perdana Menteri bagi memperjuangkan hak orang Penan ketika Earth Summit sebelum ini.

Zulkefly berkata, jika pilihan raya umum diadakan sebelum 20 Jun dan Pakatan Rakyat menang, kilang Lynas akan dibatalkan sebagaimana dijanjikan Pakatan.

"Namun jika pilihan raya belum berjalan menjelang 20 Jun, dan Lynas tidak ditutup, kita akan ke Rio untuk bertemu PM di sana," kata beliau yang jga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS.


Solidariti Hijau 13 April


Sementara itu, Zulkefly memaklumkan, Himpunan Solidariti Hijau Semalaysia akan diadakan di Shah Alam 13 April ini.

Ia bertujuan untuk meneruskan tekanan agar kerajaan membatalkan kilang Lynas yang akan dibuka di Gebeng, Kuantan.

"Kita akan berhimpunan dari Masjid Negeri selepas solat Jumaat dan berarak ke Dataran Shah Alam...kita harap orang ramai menyertai bantahan ini," katanya.

Beliau juga memaklumkan, selain perhimpunan di Shah Alam, mereka juga akan mengadakan perhimpunan serupa di seluruh negara.

"Maklumat terperinci akan dimaklumkan 4 April ini diperkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta," kata Zulkefly.

4 April ini, Mahkamah Tinggi akan bersidang secara terbuka bagi mendengar afidavit dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang telah disaman oleh 10 penduduk Kuantan ekoran kelulusan TOL kepada Lynas.

Tiada ulasan: