Rabu, 28 Mac 2012

Serah kembali tanah ladang kami!

Seramai 150 peneroka berdemonstrasi secara aman di pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini.



SEREMBAN: Seramai 150 peneroka Kampung Serampang Indah dari Serting hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hasan di sini bagi mendesak campur tangan beliau agar memulangkan semula tanah perladangan mereka secepat mungkin.

Mereka yang turut mewakili 250 peneroka yang lain berjumpa Menteri Besar di Balai Pengawal pejabat beliau. Mereka menyerahkan memorandum meminta Mohd Hasan berunding dengan syarikat Thamarai Holding Sdn Bhd agar tanah perladangan mereka dapat dikembalikan semula kepada keseluruhan 400 peneroka di Kampung Serampang Indah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco), Abdul Rahman Ali Mohamad, 60, menjelaskan kronologi masalah yang membelenggu 400 peneroka terbabit timbul sejak 35 tahun lalu.

“Peneroka di sini membeli tapak kediaman seluas satu ekar dan tanah perladangan seluas 10 ekar daripada syarikat Gatco pada tahun

1977. Peneroka Bumiputera membayar RM4,000 manakala peneroka bukan Bumiputera membayar RM7,600.

“Pada tahun 1983, syarikat Gatco memperbaharui perjanjian dan melakukan pengubahsuaian dan keluasan tanah perladangan dikurangkan kepada lapan ekar.

“Gatco membuat pinjaman dengan dua buah institusi kewangan iaitu United Asian Bank dan Nederlandse Financierings-Maatschappijvoor Ontwikkelingslanden.

Bertolak dari masalah pengurusan, syarikat Gatco diisytiharkan muflis pada tahun 1996. Sepanjang tempoh ini peneroka gagal mendapat geran hak milik.

Tanah perladangan dilelong

“Pada tahun 2004 tanah perladangan ini dilelong. Kami bersedia membeli tanah perladangan ini melalui koperasi dan kami telah membayar deposit sebanyak RM320,000.00 (earnest deposit) kepada Tetuan Singam and Young (Pelelong).

“Apabila kami ingin membuat bayaran peringkat kedua, pihak pelelong tidak mahu menerima bayaran dari kami atas alasan kami tidak mampu untuk menyelesaikan keseluruhan lelong tersebut.

“Seterusnya tanah perladangan ini ditawarkan kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd dengan harga RM16 juta.

“Persoalannya kenapa pihak pelelong tidak meneruskan urusan lelongan dengan kami. Jika kami gagal membayar baki RM16 juta dalam masa yang ditetapkan, mereka boleh batalkan urusan ini,” jelas Abdul Rahman.

Abdul Rahman berkata mereka sanggup membeli tanah mereka pada harga RM18 juta dari Thamarai Holdings dan memohon jasa baik Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS).

Kuasa MB

Tetapi selama ini Menteri Besar dan PKNNS tidak mahu membantu mereka walaupun kuasa tanah terletak di bawah Menteri Besar.

Seorang lagi wakil peneroka Kampung Serampang Indah, C John pula berkata keadaan semakin meruncing apabila Thamarai Holdings sudah membawa masuk jentera dan jentolak untuk membersihkan tanah ladang (pokok getah) mereka.

“Masalah kami sudah berlanjutan selama 35 tahun. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad pernah berjanji untuk membawa masalah kami kepada perhatian Menteri Besar namun sehingga ke hari ini janji tinggal janji.

“Oleh yang demikian pada hari ini kami datang ramai-ramai untuk meminta Menteri Besar campur tangan dalam masalah tanah ini dan berunding dengan Thamarai Holdings agar kami mendapat semula hak kami.

“Kami sanggup membeli balik dari Thamarai Holdings dengan harga RM18 juta.

“Sebelum ini Thamarai Holdings bercadang menjual tanah kami kepada kami pada harga pasaran iaitu dari RM25,000 hingga RM30,000 seekar sedangkan mereka membeli tanah kami dengan harga RM4,000 seekar.

“Kami memberikan masa tujuh hari kepada Menteri Besar dan jika beliau gagal selesaikan masalah ini, kami akan membawa masalah ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami tidak teragak-agak untuk membuat bantahan di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya”, kata John.

Orang tengah

Sementara itu drama demonstrasi aman dan penyerahan memorandum ini tidak berakhir apabila Mohamad Hasan ketika menerima memorandum berkata bahawa beliau akan menjadi orang tengah dalam masalah ini dan akan cuba berunding dengan Thamarai Holdings.

Bagaimanapun selepas Mohamad Hasan menerima memorandum tersebut dan ketika baru meninggalkan peneroka terbabit terdengar laungan agar Mohamad Hasan menyelesaikan masalah ini dengan segera dari luar pagar oleh Adun Senawang dari DAP, P Gunasekaran.

Mohamad Hasan kembali semula ke Balai Pengawal dan berkata bahawa beliau tidak akan membantu peneroka sekiranya pembangkang campur tangan dalam isu ini.

Ini memaksa Abdul Rahman dan John menjelaskan kepada Mohamad Hasan bahawa isu ini tidak ada kena mengena dengan pembangkang dan ini merupakan masalah peneroka semata-mata.

Tanah milik syarikat swasta

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco, Mohamad Hasan berkata masalah yang dihadapi oleh penduduk di tanah ladang ini sebenarnya bukan masalah kerajaan negeri.

“Tanah tersebut bukan milik kerajaan negeri sebaliknya milik syarikat swasta yang membeli tanah ladang itu melalui lelongan awam yang dibuat di mahkamah.

“Syarikat Thamarai Holding membeli tanah tersebut melalui lelongan awam dan kerajaan negeri tidak pernah menjual tanah tersebut kepada syarikat itu kerana segala urusan jual beli serta lelongan dilakukan di mahkamah dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Walaubagaimanapun kita akan berusaha berbincang dengan Thamarai Holdings bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua pihak.

“Peneroka ini jangan terpengaruh dengan pihak lain yang cuba menghuru-harakan keadaan agar menjadi lebih sensasi.

“Saya pasti ada pihak lain yang cuma mempengaruhi peneroka dan membuat dakwaan bahawa kerajaan negeri yang jual tanah ladang itu kepada pihak luar sedangkan itu tidak betul.

“Janganlah terpengaruh dengan anasir luar. Siasat dulu dan faham betul-betul apa yang sebenarnya berlaku kerana masalah ini bukan satu perkara yang baru”, ulas Mohamad Hasan.

Tiada ulasan: