Khamis, 29 Mac 2012

Perkasa: Jangan kaitkan akidah dengan 1Malaysia


KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyelar kenyataan Moderator Belia Majlis Gereja Malaysia (CCM) yang mengaitkan 1 Malaysia dengan akidah dan kesucian Islam dalam kenyataannya berkaitan penganjuran seminar berkenaan “ancaman Kristianisasi” yang mana dakwanya telah menimbulkan perasaan kurang senang komuniti Kristian di negara ini.

“Apa maksud Chin seminar yang akan diadakan itu tiada menggambarkan semangat 1 Malaysia? Akidah umat Islam dan kesucian Islam jangan dikaitkan dengan semangat 1Malaysia.

“Jangan main pukul rata sahaja kefahaman mengenai 1 Malaysia,” tegas Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Moderator Belia Majlis Gereja Malaysia (CCM) Chrisanne Chin sebelum ini berkata kepada The Malaysian Insider, pihaknya beranggapan seminar tersebut akan menimbulkan sikap kurang senang dan curiga komuniti Kristian di negara ini dan bertentangan dengan semangat 1 Malaysia yang dilaungkan kerajaan.

Jelas Syed Hassan, sekiranya tidak wujud ancaman sedemikian, pihak berkuasa agama tidak akan bersungguh-sungguh untuk mengadakan seminar bagi memberikan kefahaman berkenaan perkara itu.

“Tahukah Chin kalau tiada usaha-usaha oleh pihak tertentu yang begitu bersungguh-sungguh dan tersusun memurtadkan umat Islam tidaklah sibuk badan-badan Islam nak adakan seminar seumpama ini.

“Sejak kebelakangan ini dengan suasana politik yang tidak menentu, badan-badan yang bertanggungjawab terhadap kesucian Islam mula cemas bila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memurtadkan umat Islam,” katanya lagi.

Syed Hassan turut mempersoalkan tindakan Chin yang cemas terhadap seminar berkenaan, kerana menurutnya, hanya pihak yang bertanggungjawab memurtadkan umat Islam akan merasa cemas dengan pelaksanaan seminar berkenaan.

“Apa yang Chin nak cemaskan dengan seminar itu? Apakah Chin yang cemas sebenarnya kerana seminar itu akan menyusahkan pihak-pihak tertentu nak mengkristiankan umat Islam?”

Sehubungan itu, Hassan menegaskan Perkasa menyokong penuh usaha Jabatan Pelajaran dan Jabatan Mufti Johor adakan seminar itu.

“Perkasa tidak mahu seminar tersebut dibatalkan disebabkan oleh kenyataan Chin itu apabila ini yang menjadi kerisauan pula pada sesetengah pihak yang takut kehilangan undi.

“Jika dibatalkan kerana kenyataan Chin dan menerima tekanan politik, Perkasa anggap penganjur adalah umat Islam paling pengecut,” katanya lagi.

Hassan turut menyentuh berkenaan insiden di Gereja Methodist Damansara (DUMC) tahun lalu yang mana terdapatnya dakwaan cubaan memurtadkan umat Islam dalam satu majlis makan malam yang mendapat perhatian umum.

“Jika betul bantuan mereka tidak ada niat nak murtadkan umat Islam yang hadir, saya ingin tanya mengapa ramai penganut Kristian di Sabah dan Sarawak ramai yang susah tidak dibantu? Penganut agama Hindu di ladang-ladang ramai yang susah mengapa tidak dibantu?” soalnya.

Salinan surat berkenaan seminar itu daripada Jabatan Pelajaran Johor itu turut diletakkan di laman web mereka.

Chin yang juga ahli jawatankuasa eksekutif CCM menegaskan beliau bukanlah menentang program-program latihan untuk guru agama, tetapi risau program Sabtu ini akan meletakkan tekanan kepada guru untuk mengajar dan menyebarkan tekanan beragama kepada pelajar.

Sementara itu, Penasihat Unit Pendidikan Agama Jabatan Pelajaran Johor, Hasimah Abdul hamid yang dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut berkenaan program itu yang seakan-akan menunjukkan ancaman Kristian terhadap Islam.

“Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan ajaran Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Tapi saya tidak boleh mengulas berkenaan tajuknya, kerana ia diserahkan penganjur.”

Kristian membentuk 9.2 peratus daripada 28.3 juta populasi rakyat Malaysia.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kristian dan Muslim komuniti bertelagah berkenaan perkataan “Allah” yang mana mereka mendakwa hanya Islam yang boleh menggunakan perkataan itu kerana ia melambangkan tuhan untuk orang Muslim.

Sekumpulan konservatif Muslim turut menuduh Kristian cuba memurtadkan orang Islam, telah menimbulkan ketegangan terhadap kedua-dua agama tersebut.

Tiada ulasan: