Isnin, 27 Februari 2012

NFCorp dibidas kerana pertikai syor polis

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR – Naib Presiden KEADILAN, N Surendran membidas pihak pengurusan National Feedlot Corporation (NFCorp) kerana mempertikai kenyataan polis berhubung siasatan skandal syarikat berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan mengesyorkan supaya pengarah syarikat itu, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa atas kesalahan pecah amanah.


Bagaimanapun, NFCorp dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan motif kenyataan itu dibuat dan menyifatkan kononnya pihak polis bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Selain menyatakan rasa ‘terkejut dan keliru’, NFCorp hari ini menyifatkan kenyataan Bukit Aman ‘terlalu awal’ kerana polis masih menjalankan siasatan.

“NFC secara jelas melanggar syarat perjanjian dengan menggunakan dana untuk tujuan lain seperti membeli tanah, kondominium, kereta mewah dan perkara yang bukan-bukan,” tegas Surendran.

“Perkara ini merupakan jenayah pecah amanah, jadi kenapa mereka tiba-tiba keliru dengan kenyataan Bukit Aman yang mahu Mohamed Salleh didakwa atas jenayah pecah amanah,” kata Surendran ketika dihubungi KeadilanDaily.

Dengan nada sinis Surendran berkata, pihak NFC sepatutnya mencari peguam untuk membela syarikat itu sekiranya kes itu dibawa ke mahkamah nanti.

Sementara itu, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua mahu kerajaan membekukan semua aset Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) sama ada di Malaysia atau luar negara.

Menurut beliau pembekuan aset itu perlu dilakukan memandangkan kesemua aset itu terletak di bawah nama pengarah NFC.

“Kebanyakan aset sama ada secara langsung atau tidak dibuat di bawah nama pengarah NFC. Ini termasuk aset di Malaysia dan Singapura, serta syarikat-syarikat di Singapura seperti MeatWorks (Singapura) Pte Ltd.

“Untuk memastikan aset-aset ini tidak dihapuskan melalui perbelanjaan daripada pinjaman mudah RM250 juta, polis mesti memulakan tindakan ke atas semua aset dan membekukan semua aset NFC,” katanya.

Tiada ulasan: