Ahad, 26 Februari 2012

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

Oleh Hafizan Taib


SABAK BERNAM : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

"Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

"Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar," katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) - Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

"Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid," katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

"Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

"Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih," katanya lagi.

Tiada ulasan: