Isnin, 30 Januari 2012

Membedah grand design Mahathir

Liew Chin Tong


Tidak ramai antara kita yang masih ingat bahawa Barisan Nasional telah berjaya menyelamatkan diri dan kembali menguasai medan pilihan raya umum dari tahun 1991 hingga 2005 hasil daripada kompromi Mahathir Mohamad dalam bentuk Wawasan 2020.

Penggunaan aparat negara serta tindakan tidak demokratik seperti kuasa menahan tanpa bicara ahli-ahli politik pembangkang, penguasaan media massa secara langsung dan tidak langsung, dan sistem pilihan raya yang pincang, telah membolehkan BN kekal berkuasa, mejadi parti yang dipilih paling lama berkuasa di dunia hari ini.

Formula Perikatan dan bermulanya hegemoni "Melayu dahulu"

Formula Perikatan - pewaris kepada BN - adalah untuk memenangi separuh daripada semua undi di kalangan pelbagai kaum. Sebagai satu-satunya gabungan pelbagai kaum di semua peringkat, strategi itu membuahkan hasil kepada Perikatan dalam pilihan raya umum tahun 1959 dan 1964.

Tetapi amalan Perikatan sebagai "kerajaan kecil yang tidak banyak berbuat apa-apa" menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan perbezaan ketara sosioekonomi rakyat. Ia menyebabkan pertambahan sokongan kepada pembangkang daripada pelbagai kaum, termasuk orang Melayu, dalam PRU 1969.

Anggapan yang mengatakan hanya pengundi Cina menyokong pembangkang pada tahun 1969 adalah tidak benar kerana orang Melayu juga berbuat demikian. Mahathir kalah di kerusi Kota Setar Selatan serta ramai lagi pemimpin besar UMNO tewas dalam PRU itu yang membuktikan ada peralihan undi Melayu menentang Perikatan.

Pasca-1969, formula Razak bercita-cita mencapai sokongan 70% undi Melayu kepada BN. Undi bukan Melayu tidak dianggap penting dalam formulasi tersebut. Semua dasar di bawah sususan rancangan baru berkenaan, yang dilambangkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB), digerakkan ke arah mencapai matlamat tersebut.

Strategi "Melayu dahulu" membawa kejayaan kepada UMNO sehingga PRU 1990 apabila undi Melayu pecah selepas penubuhan Semangat 46 yang diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas pemimpin kanan UMNO yang lain.

Barisan pembangkang yang dipimpin oleh Semangat 46 hampir menang dalam PRU 1990 tetapi BN berjaya menyelamatkan diri dengan manipulasi tiga hari terakhir sebelum membuang undi apabila gambar Tengku Razaleigh yang memakai sigah Kadazan berlambang palang disebarkan oleh media massa sebagai kononnya perlambangan agama Kristian. Ia cuba memberi gambaran kepada orang Melayu bahawa pembangkang mahu menjual hak kaum dan maruah kepada kuasa asing.

Namun undi Melayu kepada BN tidak pernah kembali lagi ke tahap tinggi pada zaman DEB (1970-1990). Malah, undi Melayu sentiasa berkurangan dalam setiap PRU sejak tahun 1990, kecuali pada tahun 2004, iaitu PRU pertama pasca-Mahathir. (Pada PRU 2004, Perdana Menteri Abdullah Badawi menang kerana janji-janji reformasi kerajaan.)

BN menang PRU 1995 dengan undi popular 65% walaupun berlaku penurunan undi Melayu dan terus mengekalkan kemenangan dalam PRU 1999, walaupun lebih separuh pengundi Melayu menolak BN, satu reaksi terhadap pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim.

Bagaimana Mahathir dan Barisan Nasional terus berjaya menyelamatkan diri sejak PRU 1990?

Wawasan 2020 dan "Bangsa Malaysia"

Dalam masa empat bulan sahaja selepas PRU 1990, Mahathir (gambar bawah) mengumumkan Wawasan 2020 dan konsep "Bangsa Malaysia" pada Februari 1991 dan menetapkan hala tuju BN untuk 14 tahun seterusnya sehingga Julai 2005.

Strateginya adalah untuk menampung hakisan pengundi Melayu kepada UMNO dengan membawa sokongan kelas menengah Cina. Ia dilaksanakan dengan mengetepikan seketika isu hak Melayu untuk meredakan tekanan perkauman. Kaum Cina menolak UMNO sepanjang 1970-1990 kerana tidak diberi peluang ekonomi dan hak budaya.

Pada awal tahun 1990-an, ekonomi mula berkembang dan taraf hidup meningkat. Kekangan terhadap keinginan budaya dan sosioekonomi kaum Cina tidak lagi disekat, sebaliknya digalakkan walaupun ada harga yang perlu dibayar.

Sebagai contoh, peluang pendidikan tinggi kepada kaum Cina berpendapatan rendah dan sederhana amat berkurangan pada 1970-an dan 1980-an. Tetapi pada 1990-an, asalkan seseorang itu sanggup dan mampu membayar untuk pendidikan swasta, beratus-ratus kolej mengejar pelajar.

Satu lagi contoh adalah siaran televisyen dalam bahasa Cina. Pada 1970-an dan 1980-an, tidak lebih dari dua jam sehari diperuntukkan untuk rancangan bahasa Cina di kaca TV. Pada 1990-an, jika anda mampu melanggan perkhidmatan TV satelit, pelbagai program bahasa Cina disediakan untuk kelas menengah Cina yang selama ini bising dengan tuntutan hak.

Jika anda bukan dari kalangan kelas menengah yang sedang berkembang, atau tidak mampu membiayai pendidikan swasta anak-anak, atau melanggan TV satelit, jangan salahkan kerajaan. Ia adalah masalah anda - sama ada anda tidak bernasib baik atau anda tidak gigih bekerja. Itu andaian BN. Lagipun, pakar-pakar strategi BN sedar bahawa segmen pengundi miskin Melayu dan Cina akan tetap mengundi masing-masing PAS dan DAP.

Musuh bayangan dan pemerintahan singkat Abdullah Badawi

Sepanjang 1970-an dan 1980-an, setiap bulan ada sahaja isu perkauman yang dimainkan oleh media massa. Tetapi pada tahun 1990-an, apabila Mahathir memerlukan "musuh" untuk dihentam bagi memastikan popularitinya kekal di kalangan orang Melayu, beliau sentiasa ada pilihan di antara "penjajah" British, "penindas" Amerika, "komplot" Yahudi atau Australia yang "sombong" dan "tidak beradab".

Dan, jika Mahathir memerlukan "musuh" yang kelihatannya seperti orang Cina, maka Cina "tumpang" di selatan Tambak Johor sentiasa ada untuk dimangsakannya. Imej demonstrasi Pemuda UMNO membantah Singapura di Johor Bahru dengan jelas mencerminkan keadaan politik pada masa itu - UMNO tidak perlu mengubah kaedahnya, cukup dengan melihat sahaja "musuh" di luar.

Pada 2004, Abdullah Badawi mewarisi rangka kerja Mahathir dengan mesej yang bersifat lebih "Malaysia" atau wasatiyyah (sederhana). Dalam perutusan Hari Kebangsaannya pada Ogos 2004, Abdullah berkata, "Kita semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia. Tidak ada individu di negara ini yang diiktiraf 'lebih Malaysia' dari individu lain."

Tetapi sesuatu telah berlaku pada tahun 2005. Rancangan besar BN berakhir secara mengejut pada minggu terakhir Julai 2005. Ini akan saya bincangkan minggu depan.

*Liew Chin Tong (gambar kanan) ialah ahli parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP, dipetik dari Roketkini.

Tiada ulasan: