Sabtu, 31 Disember 2011

Shamsubahrin didakwa tipu NFC RM1.76 juta

FREE MALAYSIA TODAY

Hakim Ahmad Zamzani membenarkannya diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.



KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, membabitkan jumlah RM1.755 juta.

Beliau membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain petang ini.

Ahmad Zamzani membenarkan Shamsubahrin, 45, dari Bukit Jelutong, Shah Alam, diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 31 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Shamsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini, pada 6 petang 20 Nov lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, di sini pada 25 Nov hingga 6 Dis lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.- Bernama

Tiada ulasan: