Khamis, 29 Disember 2011

Perkasa: Kenyataan Rev Eu terhadap Artikel 153 ‘bermotifkan politik’


KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini menuduh pemimpin gereja Kristian yang membangkitkan perkara berkaitan Artikel 153 Perlembagaan ketika sambutan Krismas lalu berunsurkan politik.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (gambar) menggelarnya sebagai ‘provokatif’ dan mengemukakan teori terdapatnya hubungan antara kenyataan Reverend Dr Eu Hong Seng dengan pilihan raya umum akan datang.

“Saya percaya kenyataan Dr Eu itu didorong oleh unsur politik kerana pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi. Terdapat motif politik di sini yang saya lihat cubaan untuk mengelirukan orang ramai dengan mengatakan kerajaan tidak berlaku adil terhadap bangsa lain.

“Itu matlamat Dr Eu. Artikel 153 tidak boleh dipersoalkan ... terdapat motif politik untuk menghapuskan hak Melayu,” katanya kepada pemberita di sini.

Pengerusi Kristian Avengelica Nasional (NEFC) itu ketika sambutan Krismas lalu membuat kenyataan bahawa Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan “membuli” sekiranya hanya melindungi hak sesetengah kumpulan etnik sahaja.

Artikel 153 menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk “memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk Pribumi Sabah dan Sarawak dan juga kepentingan kaum lain sepertimana peruntukan Artikel ini”.

Dalam ucapannya, Eu menekankan dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan hak Melayu dan Bumiputera, serta Sultan, tetapi “apa yang menjadi masalah adalah ‘perpindahan hak’ majoriti.

Kenyataannya itu telah membuatkan Presiden Perkasa mendesak polis segera menyiasat Eu.

Ibrahim, beserta Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar termasuk 30 ahlinya membuat laporan polis terhadap Eu berdasarkan artikel yang dikeluarkan The Malaysian Insider dan beberapa penerbitan lain.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini berkata, kenyataan Eu itu harus disiasat dengan serius oleh pihak polis, kerana ucapan tersebut di buat dalam majlis yang dihadiri oleh ahli politik bukan Melayu daripada Barisan Nasional, seperti MCA dan Gerakan termasuk parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

Abdul Rahman pula menyatakan Article 153 bukan sahaja melindungi hak Melayu, bahkan juga termasuk Bumiputera di Sabah and Sarawak, yang majoritinya beragama Kristian.

Menurutnya, kenyataan Eu itu bersifat menghasut dan menuntut polis menyiasat pemimpin Kristian itu di bawah Akta Hasutan.

Abdul Rahman turut menyelar Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang hadir di majlis berkenaan tetapi tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Eu.

“Kami kecewa kerana Koh melepaskan orang yang melakukan perkara sedemikian.”

Eu masih lagi tetap dengan pendiriannya bahawa “seseorang perlu menyuarakannya”.

Pembangkang mendakwa, peruntukan berkenaan telah dimanipulasi oleh Umno dan sekarang digunakan sebagai “senjata”.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa Artikel 153 membawa maksud Raja mesti menjaga kepentingan dan hak istimewa Bumiputera tanpa meminggirkan hak dan peranan kaum lain.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin pula sebelum ini telah menafikan dakwaan peruntukan tersebut membuli kaum lain.

Tiada ulasan: