Khamis, 29 Disember 2011

Bob Lokman beri keterangan kepada Jaip 5 Jan

Khairil Abdul Rahim


KUANTAN: Bob Lokman, telah dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) pada 5 Januari ini bagi memberi keterangan berikutan notis siasatan terhadapnya 24 Disember lalu.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini, beliau memaklumkan telah pun menerima surat daripada Jaip yang memintanya hadir di pejabatnya di sini jam 10 pagi pada tarikh tersebut bagi memberi keterangan.

“Saya akan hadir ke pejabat Jaip bagi memberi keterangan berikutan tazkirah yang saya sampaikan kerana didakwa tanpa tauliah,” katanya.

Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ditahan pegawai Jaip sebaik selesai menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini Sabtu lalu.

Pegawai tersebut mengambil maklumat daripada Bob Lokman pada ketika jemaah penuh sesak sedang menunaikan Solat Isyak dan dibawa ke beranda masjid. Beliau disiasat di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 ialah peruntukan bagi “Mengajar Ugama yang salah” di mana jika sabit kesalahan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini Bob Lokman telah menerima waran tangkap daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga atas tuduhan menyampaikan ceramah di masjid dalam negeri tersebut tanpa tauliah.

Sementara itu, Setiausaha Penerangan PAS Pahang, Youslydi Mohd Desa, menggesa ahli-ahli dan penyokong PAS agar keluar beramai-ramai pada waktu perbicaraan itu bagi memberi sokongan kepada Bob Lokman.

Tiada ulasan: